SIASATAN kes keracunan terhadap murid perempuan di sekolah Iran baru-baru ini boleh jatuh di bawah bidang kuasa Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), kata White House.
Menurut data rasmi, ratusan kes keracunan gas dilaporkan di lebih 52 sekolah di seluruh Iran sejak akhir November lalu.
Kes-kes keracunan membabitkan murid perempuan dilapor berlaku lebih lima bulan selepas bermulanya protes susulan kematian Mahsa Amini, 22, yang didakwa melanggar kod pakaian bagi wanita di negara itu.
“Jika keracunan ini berkait dengan protes tersebut maka ia berada di bawah bidang kuasa PBB untuk menyiasat,” kata jurucakap White House Karine Jean-Pierre, merujuk kepada badan yang ditubuhkan pada November untuk menyiasat pencabulan hak manusia di Iran.
“Mesti ada badan siasatan bebas yang boleh dipercayai,” tambahnya pada sidang media hariannya semalam, selain mengecam insiden tersebut.
Selama lebih tiga bulan, ratusan murid perempuan dilapor mengalami gejala seperti sesak nafas, loya dan pening selepas terhidu bau “tidak menyenangkan”. Beberapa orang murid juga dimasukkan ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.
Insiden tersebut mencetus ketakutan dalam kalangan ibu bapa dan menggesa supaya pihak berkuasa segera bertindak.
Timbalan Menteri Kesihatan Iran Younes Panahi berkata kes keracunan baru-baru ini disyaki bertujuan untuk menyekat pendidikan kanak-kanak perempuan.
Sementara itu pemimpin tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei semalam berkata perbuatan meracuni murid sekolah adalah jenayah serius dan pelakunya harus menerima hukuman berat.
Belum ada sebarang penangkapan diumumkan setakat ini. – AFP, 7 Mac 2023.
Komen