2 saksi beri keterangan petisyen pilihan raya Marang


Diyana Ibrahim

DUA saksi memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan penuh petisyen bagi membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerusi Parlimen Marang di Mahkamah Pilihan Raya yang bersidang di Kuala Terengganu hari ini.

Dua saksi tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit Bazlan Abd Rahman dan seorang pengundi berdaftar di Parlimen Marang, Long Mohamad Sulaiman, yang juga pengundi dari luar kawasan.

Peguam yang mewakili ahli Parlimen Marang, Takiyuddin Hassan bagaimanapun membantah saksi yang dibawa oleh peguam pempetisyen dengan alasan Bazlan tidak relevan sebagai saksi.

Ini kerana katanya saksi merupakan seorang Adun Batu Rakit dalam Parlimen Setiu dan bukannya di Marang.

Takiyuddin juga memberitahu mahkamah kawasan Batu Rakit tidak pernah disebut dalam petisyen.

Menjawab soalan itu, Bazlan berkata beliau hadir untuk memberi keterangan dan membuktikan pemberian dana bantuan kerajaan negeri yang dipanggil i-Belia dan i-Siswa diagihkan secara berleluasa di seluruh Terengganu dan bukan hanya melibatkan di Marang sahaja semasa PRU15.

Takiyuddin kemudiannya berkata dalam petisyen yang difailkan calon Barisan Nasional (BN) Jasmira Othman bagi parlimen Marang pada PRU15 juga tidak ada menyebut satu pun keterangan Bazlan hadir sebagai saksi dalam perkara yang didakwanya.

“Kalau YB tahu sedikit sebanyak yang berlaku di Marang, ia hanya berdasarkan laporan akhbar,” kata Takiyuddin.

Beliau merujuk kepada sedutan klip video penyerahan bantuan dana i-Belia di kawasan DUN Alur Limbat yang berada bawah Parlimen Marang oleh exco Terengganu Ariffin Deraman pada 14 November di Dewan Konvensyen Duyung Marina.

Sedutan ucapan exco dalam majlis tersebut dimainkan pada prosiding awal pagi tadi.

Bazlan kemudiannya menafikan hujah Takiyuddin dengan berkata beliau mengambil cakna apa yang berlaku di seluruh Terengganu.

Dalam soal balas semula, peguam pempetisyen Mohd Hafarizam Harun meminta saksi menjelaskan tempoh pemberian dana i-Siswa dan i-Belia.

Hafarizam juga bertanya adakah ia satu situasi yang normal dan biasa untuk bantuan kerajaan negeri diagihkan selepas setahun peruntukan bajet negeri diluluskan.

Bazlan menjawab pemberian dana kerajaan negeri itu diagihkan pada awal berkempen sehinggalah malam sebelum hari pengundian  pada 19 November 2022.

“Ia tidak munasabah kerana kebiasaannya kerajaan dahulu (BN) akan mengagihkan segala dana bantuan ketika Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Sementara itu, saksi kedua yang juga pelajar Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) mengaku diberikan duit selepas selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Midin pada 19 November.

“Semasa saya dalam perjalanan untuk mengundi saya diberhentikan oleh seseorang yang berada di khemah berwarna hijau, khemah parti PAS.

“Dia berkata kepada saya lepas mengundi datang di surau Ar Riduan untuk ambil duit,” kata Long, menjawab soalan Hafarizam.

Long, 25, berkata selepas selesai mengundi dia pergi ke surau tersebut untuk mengambil duit seperti yang dijanjikan.

“Kemudian nama saya dipanggil dan saya diminta untuk ikut apa orang itu buat angkat tangan (seperti mengangkat sumpah) dan menyebut ‘wallahi saya undi PAS’,” katanya.

Hakim Hassan Ghani kemudian menangguhkan perbicaraan ke 10 pagi esok.

Hafarizam juga memberitahu kepada The Malaysian Insight pihaknya akan membawa empat lagi saksi pengundi Marang pada prosiding esok. – 6 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen