Wujudkan skim pinjaman khas untuk pencarum KWSP memerlukan, kata pakar


Alfian Z.M. Tahir

Pakar ekonomi mengesyorkan KWSP wujudkan skim pinjaman khas yang mensasarkan pencarum memerlukan dengan kriteria tertentu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mac, 2023.

PUTRAJAYA mungkin boleh menwujudkan skim pinjaman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) khas untuk membantu pencarum yang memerlukan bagi mengatasi masalah kewangan, kata pakar ekonomi.

Mereka berkata satu lagi cadangan jangka panjang ialah menaikkan gaji, termasuk skim gaji minimum semasa.

Mereka juga bersetuju menjadi satu kesilapan jika membenarkan skim pengeluaran khas KWSP yang menyebabkan ramai pencarum mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000.

Dr Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak berkata KWSP perlu menyediakan skim khas untuk membolehkan pencarum sedia ada membuat pinjaman daripada dana persaraan.

Beliau berkata KWSP dan pencarum yang layak akan mendapat manfaat daripada skim itu jika kajian dan penglibatan sewajarnya dilakukan oleh agensi kerajaan berkaitan.

“Bagi saya perlu ada rancangan jangka panjang. Kita melakukan kesilapan dengan membenarkan pengeluaran khas sebanyak empat kali semasa pandemik sehingga tidak menyedari betapa sedikit wang yang tinggal untuk pencarum.

“Jumlah purata hanya RM7,000 dan untuk menangani kemelut persaraan ini bukan mudah. Ada pencarum yang tidak cukup masa. Kalau umur 50 tahun, ada 10 tahun lagi, kalau muda ada masa.

“Cadangan saya ialah KWSP tampil dengan skim pinjaman khas memfokuskan kepada mereka yang memerlukan dengan beberapa kriteria diperlukan. Seseorang mungkin memerlukan RM250,000 untuk bersara, ini adalah jumlah yang selesa tetapi RM150,000 hingga RM 200,000 tidak mengapa.

“Beri pinjaman RM50,000 hingga RM100,000 dan tetapkan kadar pulangan pada 5% setahun, kadar faedah 2% setahun. Ada 3% kesan kompaun (daripada dividen KWSP).

“Dalam tempoh 15 hingga 20 tahun (bekerja dan membayar balik pinjaman), seseorang itu akan mempunyai RM100,000 apabila bersara kelak. Dengan wang itu, walaupun jumlah itu tidak sebesar RM200,000, beliau boleh memulakan perniagaan.

“Pinjaman ini selamat untuk pihak KWSP dan pencarum kerana jika pencarum tidak membayarnya, KWSP akan mendapat semula wang daripada potongan bulanan mereka,” katanya.

Pada Sabtu, Ketua Pegawai Operasi KWSP Amir Hamzah Azizan berkata pengeluaran khas RM145.5 bilion adalah lebih besar daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) individu bagi kira-kira 100 negara dan wilayah.

“Itulah jumlah yang sudah kita keluarkan,” katanya semasa pembentangan prestasi kewangan 2022 dana itu.

Beliau berkata ahli Bumiputera dan India di bawah umur 55 tahun menyaksikan penyusutan tahap simpanan yang lebih tinggi disebabkan oleh pengeluaran berganda berkaitan pandemik.

Setakat April 2020, median simpanan ahli Bumiputera ialah RM15,500 tetapi kini menyusut kepada RM4,900 setakat Disember 2022.

Masyarakat India menyaksikan penurunan kira-kira 40% dalam simpanan median mereka daripada RM25,700 kepada RM14,900.

Sebaliknya, pencarum Cina hanya menyaksikan penurunan 1% dalam simpanan median mereka daripada RM45,800 kepada RM45,200.

Simpanan median untuk M40 menyusut sebanyak 34% daripada RM30,113 kepada RM19,926.

Penjimatan median untuk B40 menjunam 76% kepada RM577 daripada RM2,434. Terdapat 5.2 juta ahli dalam kumpulan M40 dan B40.

Kenaikan gaji

Sementara itu, ahli akademik Putra Business School, Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata kerajaan perlu menaikkan gaji minimum bagi membolehkan lebih banyak simpanan dalam KWSP.

Bagaimanapun, beliau berkata bukan mudah menaikkan gaji pekerja biasa begitu sahaja tanpa mereka memperoleh kemahiran atau pengetahuan khusus.

“Memberi bantuan tunai seperti yang kita lakukan dahulu bukan menyelesaikan masalah. Ia hanya menyelesaikan masalah rakyat sehari. Caranya ialah dengan menaikkan gaji, dan dengan berbuat demikian, ia akan meningkatkan caruman KWSP.

“Tetapi untuk menaikkan gaji, seseorang mesti memperoleh kemahiran dan kepakaran tertentu. Jadi, katakan apabila pelabur asing masuk, untuk membuka kilang dan mengambil pekerja berkemahiran rendah, kita tidak boleh membenarkan perkara itu berlaku.

“Kita mesti mempunyai dasar yang mereka mengupah dan memindahkan pengetahuan kepada pekerja kita.

“Pada akhirnya, kita boleh melahirkan pekerja mahir dan bukan hanya buruh gaji minimum yang rendah,” kata ahli akademik itu.

Tambahnya, kerajaan juga perlu memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana dalam sektor automotif dan pendigitalan bagi menghasilkan lebih ramai pekerja mahir.

“Kita perlukan lebih ramai tenaga kerja dalamsektor ini. Jika kerajaan fokus kepada sektor ini, kita keluarkan pekerja mahir, mereka boleh diambil dengan tahap gaji lebih tinggi dan boleh mencarum lebih banyak dalam KWSP.

“Apabila bersara, mereka mempunyai simpanan yang mencukupi. Kita selesaikan kemelut persaraan dan pada masa sama KWSP mendapat lebih banyak simpanan,” katanya lagi.

Bagi 2022, KWSP mengisytiharkan kadar dividen sebanyak 5.35% untuk simpanan konvensional bagi 2022, dengan jumlah pembayaran berjumlah RM45.44 bilion serta 4.75% untuk simpanan syariah, dengan pembayaran berjumlah RM5.7 bilion.

Secara keseluruhan, pembayaran dana persaraan untuk 2022 berjumlah RM51.14 bilion. – 7 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen