DUA pemain ski Korea Selatan yang bertanding pada Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang bulan lalu dilarang bertanding seumur hidup kerana didakwa menyerang atlet wanita yang juga teman sepasukan mereka, kata persatuan ski Seoul hari ini.
Choi Jae-woo dan Kim Ji-hyon dituduh melakukan serangan secara seksual dan fizikal terhadap atlet wanita pada pertandingan di Jepun bulan ini, kata jurucakap Persatuan Ski Korea (KSA).
Beliau berkata selepas siasatan dijalankan mereka membuat keputusan untuk mengharamkan penyertaan Choi dan Kim selamanya, menambah kedua-duanya akan dilarang mendaftar sebagai pemain ski di KSA – langkah pertama untuk mengambil bahagian dalam pertandingan di dalam dan luar negara.
Langkah itu diambil ketika kempen #MeToo mula merebak ke seluruh Korea Selatan, di mana wanita sejak sekian lama enggan tampil membuat dakwaan terhadap serangan seksual dilakukan lelaki, walaupun negara itu maju daripada segi teknologi dan ekonomi.
Jurucakap KSA berkata Choi, 24, dan Kim, 23, minum bersama di bilik hotel mereka ketika Piala Dunia Ski Acara Bebas di Akita.
Mereka mempelawa atlet wanita di bilik bersebelahan untuk menyertai mereka dan beberapa laporan media berkata mereka menyerang ketika tawaran itu ditolak.
Kumpulan atlet wanita itu meminta polis Korea Selatan untuk menyiasat kedua-duanya kerana melakukan serangan selepas kembali ke Seoul, kata KSA.
Choi pada masa ini berada pada ranking keenam dalam Piala Dunia FIS dan antara pemain ski terkenal di Korea Selatan.
Beliau berjaya sampai ke final di kejohanan musim sejuk Pyeongchang tetapi tidak berjaya hingga ke peringkat kedua. Kim tersingkir pada peringkat kelayakan.
Choi berkata beliau mahu bertanding pada Olimpik Musim Sejuk Beijing – kini impian itu tidak akan tercapai selepas diharamkan penyertaannya. – AFP, 15 Mac, 2018.
Komen