Afghanistan buka semula universiti, tetapi pelajar wanita masih dilarang


Universiti di Afghanistan mula dibuka semula tetapi Taliban masih melarang pelajar wanita untuk menyambung semula pengajian mereka. – Gambar Facebook, 6 Mac, 2023.

PELAJAR lelaki kembali ke kelas pada Isnin selepas universiti Afghanistan dibuka semula susulan cuti musim sejuk, tetapi wanita tetap dihalang oleh pihak berkuasa Taliban.

Larangan universiti adalah satu daripada beberapa sekatan yang dikenakan terhadap wanita sejak Taliban kembali berkuasa pada Ogos 2021, dan mencetuskan kemarahan global—termasuk di seluruh dunia Islam.

“Sungguh menyayat hati melihat pelajar lelaki pergi ke universiti sedangkan kami terpaksa tinggal di rumah,” kata Rahela, 22, dari wilayah tengah Ghor.

“Ini adalah diskriminasi jantina terhadap wanita kerana Islam membenarkan kami melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Tiada siapa patut menghalang kami daripada belajar.”

Kerajaan Taliban mengenakan larangan itu selepas menuduh pelajar wanita mengabaikan kod berpakaian yang ketat dan syarat ditemani oleh saudara lelaki pergi dan balik dari kampus.

Kebanyakan universiti sudah memperkenalkan pintu masuk dan bilik kelas mengikut jantina, serta membenarkan wanita hanya diajar oleh profesor wanita atau lelaki tua.

Beberapa pegawai Taliban berkata larangan pendidikan wanita adalah sementara, namun mereka masih gagal membuka semula sekolah menengah untuk pelajar perempuan, yang ditutup sejak lebih setahun.

Mereka memberikan pelbagai alasan bagi penutupan itu—daripada kekurangan dana kepada tempoh yang diperlukan untuk merombak sukatan pelajaran mengikut landasan Islam.

Realitinya, menurut beberapa pegawai Taliban, ulama ultra konservatif yang menasihati pemimpin tertinggi negara itu Hibatullah Akhundzada sangat meragui pendidikan moden untuk wanita.

Sejak mengambil alih, pihak berkuasa Taliban berjaya menjauhkan wanita daripada kehidupan awam.

Wanita disingkirkan daripada banyak pekerjaan kerajaan atau dibayar sebahagian kecil berbanding gaji lama untuk tinggal di rumah.

Mereka juga dilarang ke taman, pameran, gim dan tempat mandi awam, dan mesti berpakaian menutup aurat di khalayak ramai.

Kumpulan hak asasi mengecam sekatan itu, yang disifatkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai “apartheid berasaskan jantina”.

Masyarakat antarabangsa menjadikan hak pendidikan untuk wanita sebagai perkara utama dalam rundingan mengenai bantuan dan pengiktirafan rejim Taliban.

Tiada negara setakat ini secara rasmi mengiktiraf kerajaan Taliban. – AFP, 6 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen