Umno hanya mampu nafi laporan antarabangsa dedah kelemahannya


KERAJAAN Barisan Nasional (BN) yang diketuai oleh Umno sekali lagi menunjukkan mereka tidak mengambil kisah untuk menyelesaikan masalah rakyat.

Sikap Menteri Pendidikan Mahdzir Khalid terhadap laporan Unicef adalah contoh kegagalan Umno.

Sikap Mahdzir itu adalah tipikal bagaimana kerajaan pimpinan Umno bertindak apabila ada kajian yang mengenalpasti masalah yang dihadapi rakyat.

Mereka hanya mampu menafikan sahaja penemuan penyelidikan bebas oleh badan antarabangsa Unicef. Alasan beliau adalah dangkal, iaitu beliau tidak menerima laporan daripada guru.

Kenapa tidak cuba memahami hasil penemuan dalam laporan itu? Sebanyak 97% isi rumah yang dikaji mengatakan harga makanan yang tinggi menghalang mereka daripada menyediakan makanan yang sihat untuk anak-anak mereka dan lebih daripada 50% isi rumah tidak mempunyai cukup wang untuk membeli makanan dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

“Program Makanan Tambahan” kerajaan tidak berkesan dan tidak mencukupi. Masalah kekurangan nutrisi bukan sahaja kerana program makanan sekolah.

Ada masalah lebih besar iaitu kos sara hidup dan gaji yang rendah menyebabkan ibu bapa tidak mampu membeli makanan yang sihat untuk anak-anak mereka.

Dalam kerjaya saya sebelum ini, saya mengusahakan penyelesaian jangka panjang bagi mereka yang memerlukan.

Saya menubuhkan sebuah pusat penjagaaan kanak-kanak autistik untuk keluarga berpendapatan rendah. Pusat ini beroperasi dari pagi sampai petang supaya ibu bapa anak-anak ini boleh mencari pekerjaan dan tidak perlu risau mengenai penjagaan anak-anak mereka.

Ini memberikan peluang untuk mereka berkerja supaya mampu memberikan kehidupan yang lebih baik untuk keluarga.

Saya menggunakan hasil penyelidikkan untuk terus memperbaiki perkhidmatan kami, bukan menolak semberono sahaja.

Dalam manifesto Pakatan Harapan (PH), kami memperkenalkan rangkaian keselamatan sosial dengan memberikan tumpuan khusus bantuan yang bersasar kepada kumpulan B40 serta memastikan keperluan makanan dan nutrisi asas dipenuhi.

Kami tahu masalah itu wujud dan kami tidak hanya menafikannya sahaja. PH komited untuk menyediakan penyelesaian. – 15 Mac, 2018.

* Wan Saiful Wan Jan, timbalan pengerusi Biro Strategi dan Dasar Bersatu.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen