Sekolah tahfiz unik ajar bahasa Mandarin


Diyana Ibrahim

Sebahagian pelajar Akademi Tahfiz Mandarin yang terletak di di Pulau Ketam, Klang. – Gambar The Insight Malaysia oleh Kamal Ariffin, 4 Jun, 2017.

BAGI orang biasa, ia kelihatan seperti mana-mana sekolah swasta yang lain. Berpakaian kemeja-T merah dan seluar panjang untuk menjalani aktiviti rutin, bersukan dan menghadiri kelas.

Cuba lihat dengan lebih teliti, anda akan melihat kanak-kanak lelaki kebanyakannya berbangsa Melayu bertutur dalam bahasa Mandarin di selang seli frasa Bahasa Arab. Ini adalah sekolah tahfiz pertama dan satu-satu seumpamanya yang mengajar bahasa Arab dan Mandarin.

Ia adalah sekolah agama swasta yang memberi penekanan kepada pelajar menghafal dan membaca Al-Quran dalam bahasa Arab.

Menurut pengasasnya, Muhammad Ibrahim, bak pepatah Melayu, “tuntutlah ilmu walau sampai ke negara China” mencetuskan idea kepadanya untuk menubuhkan Akademi Tahfiz Mandarin (ATM).

Meski akademinya tidaklah terletak di China tetapi Muhamad mewajibkan pelajarnya menguasai bahasa Mandarin sebelum memasuki sekolah yang terletak di Pulau Ketam, Klang.

Muhamad atau lebih dikenali sebagai Ustaz Mad Cina berkata, ATM yang berada di bawah pengurusan Pertubuhan Pendakwah Selangor dibuka pada Januari lalu.

“Pelajar rata-ratanya tidak mempunyai asas dalam bahasa Mandarin. Sebab itu kami meletakkan syarat selain boleh membaca Al- Quran dengan baik dan mempunyai minat menghafal, perlu juga ada minat belajar bahasa Mandarin,” katanya semasa ditemui The Malaysian Insight di Pulau Ketam.

Tambahnya, seramai 30 orang pelajar diajar bahasa Mandarin oleh guru Cina yang diupah ATM pada sebelah malam.

Pengasas Akademi Tahfiz Mandarin, Muhammad Ibrahim ingin melahirkan generasi mempunyai latar belakang agama yang mantap dan mampu berkomunikasi pelbagai bahasa dengan baik. – Gambar The Insight Malaysia oleh Kamal Ariffin, 4 Jun, 2017.

Dengan 99% penduduk di situ berketurunan Cina,  beliau percaya ia dapat membantu pelajarnya menguasai bahasa Mandarin dengan lebih baik.

“Saya fikir kalau nak belajar, mesti perlukan tempat yang sesuai, seperti nak belajar bahasa Arab, walaupun boleh dilakukan di sini tetapi ia suasana sebenar tidak ada.

“Jauh untuk pergi China, kerana itu Pulau Ketam menjadi pilihan dengan 99% penduduknya berbangsa Cina, di samping guru yang mengajar yang datang dari Sekolah Jenis Kebangsaan” katanya.

Walau masih baru, kebolehan pelajar tahfiznya bertutur dan memahami bahasa Mandarin disifatkan pendakwah itu amat baik.

“Kita boleh kata mereka sudah menguasai sekitar 30 hingga 40% sebab masih baru. Justeru, kami tidak mahu terlalu memaksa.

“Cuma bermula Ogos, kita akan buat kaedah pembelajaran lebih intensif di mana pelajar perlu bertutur dalam bahasa Mandarin di siang hari. Kami galakkan mereka bercakap dengan penduduk tempatan,” katanya yang turut fasih dalam bahasa Mandarin.

Pecah tradisi

Menubuhkan ATM merupakan langkah berani Muhammad sekali gus memecahkan tradisi memandangkan sekolah tahfiz lebih sinomim dengan oreintasinya dalam bahasa Arab.

Namun, ia tidak menghairankan kerana latar belakang Muhammad itu sendiri pernah tinggal di China selama enam tahun.

“Awalnya belajar di Nilam Puri, Kelantan. Di sana sebenarnya saya sudah mula belajar sedikit bahasa Mandarin.”

Beliau kemudian melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar dan sekembalinya ke tanah air, terfikir untuk mendalami bahasa itu.

Justeru, pada 2006 beliau berhijrah ke China dan melanjutkan pelajaran di Universiti Jinan, Guangzhou dan di sanalah beliau mendapat gelaran Ustaz Mad Cina.

Tambahnya lagi, tujuan menubuhkan ATM adalah demi melihat kepelbagaian kemahiran yang dimiliki pelajar tahfiz agar tidak hanya tertumpu kepada hafazan Al-Quran dan pembelajaran agama semata-mata.

“Tujuan besar saya nak lahirkan pelajar berkemahiran dan berketrampilan yang boleh berkomunikasi pelbagai bahasa selain bahasa Arab,” katanya yang mungkin akan membuka satu lagi akademi tahfiz bahasa Tamil.

Tangani Islamphobia

Seperti tahfiz lain, tempoh pembelajaran di ATM juga adalah sehingga lima tahun, tempoh disasarkan untuk selesai menghafaz kesemua 30 juzuk Al-Quran.

Satu lagi pendekatan unik yang diambil Muhammad adalah dari segi penampilan pelajarnya yang tidak seperti kebanyakan pelajar sekolah tahfiz yang memerlukan mereka memakai jubah dan serban.

“Saya nak mereka mengenakan baju rasmi sekolah seperti t-shirt berkolar berwarna merah yang ditempah khas dengan seluar saja.

“Kita tidak mahu pendekatan terlalu drastik hingga mengejutkan penduduk di sini.”

Melalui pendekatan itu, ia diharapkan mampu menangani persepsi masyarakat bukan Islam tentang Islamphobia.

“Sebab itu tak pernah timbul soal kami nak lakukan pengislaman di sini.

“Yang ada tentang kebaikan Islam, paling kurang orang sini dapat tengok adalah ahlak pelajar tahfiz.”

Bagi Ahmad Afnan Sobri, 13, yang berasal dari Perak mengakui tidak sukar mempelajari bahasa Mandarin memandangkan sebelum ini dia belajar sekolah Cina.

Afnan yang menunjukan kebolehannya bertutur dalam bahasa Mandarin, berkata dapat menyesuaikan diri belajar di tahfiz meski jauh berada dengan keluarga.

“Tak sukar sangat sebab saya suka belajar di sini bersama kawan dan ustaz.”

Afnan antara pelajar ATM yang dapat menguasai bahasa Mandarin dengan baik dan selalu membantu rakannya semasa pembelajaran.

Begitu juga dengan pelajar Mohd Nasrullah Nadzri, 15, yang mampu menguasai bahasa Mandarin dengan baik walaupun baru sahaja mendaftar.

Seperti Afnan, Nasrullah turut memperkenalkan dirinya dalam bahasa Mandarin.

Katanya walau letih dengan tempoh pembelajaran yang agak panjang, namun dia menyukainya kerana dapat belajar sesuatu yang baru.

Sudah tentu, untuk menubuhkan sebuah tahfiz tidak semudah dilihat terutama apatah lagi ia terletak di pulau yang memerlukan kos tinggi.

Kata Muhammad, selain yuran dibayar ibu bapa sebanyak RM200 sebulan, ATM turut bergantung kepada sumbangan orang ramai.

“Ketika ini kami memerlukan sebanyak RM22,000 sebulan untuk mengekalkan operasi dan ia jumlah yang tinggi. Oleh itu, kami amat menghargai sumbangan orang ramai.”

Bagi yang ingin menghulurkan bantuan, boleh berbuat demikian boleh menghubunginya melalui telefon 0136919717. – 4 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen