Magis 100 hari pertama: Perlu kita layan?


G Manimaran

Kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim telah genap 100 hari pertama penghujung minggu lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Mac, 2023.

KERAJAAN perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim telah genap 100 hari pertama penghujung minggu lalu. Sebagaimana telah diamalkan oleh beberapa kerajaan sebelum ini, pentadbiran yang dianggotai pelbagai parti dan gabungan, dengan diberikan nama kerajaan perpaduan – kerajaan yang dibentuk atas titah nasihat Yang di-Pertuan Agong susulan Parlimen tergantung hasil Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), dinilai berdasarkan prestasi 100 hari pertama.

Sebelum ini ada pentadbiran yang mengadakan majlis khas untuk menyambut kehadiran 100 hari pertama. Diadakan bagi membuktikan impak pentadbiran mereka, sekali gus mempertahankan populariti mereka.

Saya tidak berhasrat untuk membuat penilaian pentadbiran semasa dalam tempoh yang dijadikan sebagai ukuran penting tujuan penilaian.

Di Malaysia, ukuran ini menjadi amalan sejak pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi yang dilantik sebagai perdana menteri yang kelima menggantikan Dr Mahathir Mohamad pada tahun 2003.

Pentadbiran beliau meraikan 100 hari pertama pada awal tahun 2004, beberapa bulan sebelum memanggil pilihan raya umum pada tahun yang sama, dan kepimpinannya memenangi prestasi luar biasa dalam sejarah bagi Barisan Nasional (BN), dan kemudiannya berhadapan dengan pencapaian sebaliknya empat tahun kemudian.

Sejak itu ukuran 100 hari pertama, khususnya semenjak bidang pendidikan komunikasi menjadi semakin popular di Malaysia, penanda aras ini dipercayai menjadi amalan sehingga kini.

Kita telah saksikan sekali lagi dalam penilaian kerajaan perpaduan yang dibentuk dengan Anwar, Pengerusi Pakatan Harapan dan Presiden Parti Keadilan Rakyat diangkat sebagai perdana menteri ke-10 pada 24 November lalu.

Dalam keadaan tertentu media dan penganalisis politik yang mempopularkan tanda aras itu.

Mengapa 100 hari pertama ini penting? Mengapa ia dijadikan satu amalan penting terutama dalam bidang politik? Sejauh mana ia membawa impak ke atas pembaharuan dan kebaikan lestari bagi satu-satu pentadbiran dan negara?

Asal usul

Berdasarkan pelbagai tulisan yang boleh diperoleh dalam bentuk rupa – buku, rencana, makalah dan sebagainya, konsep 100 hari pertama dipercayai berakar umbi di Perancis, di sebalik terma “Cent Jours” (100 hari) yang merujuk kepada tahun 1815, antara kepulangan Napoleon Bonaparte ke Paris dari buangan di pulau Elba dan kekalahan terakhirnya di Pertempuran Waterloo, dan selepas itu Raja Louis XVIII mendapatkan semula takhta Perancis.

Ia dikatakan menjadi asas kepada kelahiran amalan tersebut di pelbagai negara sejak selepas itu.

Konsep itu kemudiannya disertakan sebagai salah satu ikutan penanda aras penting dalam politik dan pentadbiran kerajaan di Amerika Syarikat (AS).

Di AS, tiada siapa yang bercakap begitu banyak tentang kepentingan 100 hari pertama presiden sehinggalah Franklin D. Roosevelt dilantik ke Rumah Putih pada 1933. Beliau dilaporkan mengambil tindakan pantas untuk menenangkan panik kewangan yang melumpuhkan negara itu apabila menurunkan tandatangan untuk melaksanakan Akta Perbankan Kecemasan dan melancarkan program yang membentuk Tawaran Baharu beliau, termasuk 15 perundangan utama dalam masa 100 hari pertama.

Produktiviti luar biasa presiden itu diterjemahkan kepada populariti yang sangat besar, dan beliau menetapkan standard 100 hari pertama yang akan diukur oleh semua presiden AS selepas itu. Konsep itu menjadi amalan sesetengah ketua negara itu dan ada yang tidak ikut. Malah ada yang menganggap tidak adil untuk dijadikan ukuran ke atas kepimpinan mereka.

Amalan signifikan disaksikan ketika pentadbiran John F. Kennedy, Gerald Ford, Ronald Reagan serta Barack Obama. September 1974, hampir sebulan menjadi presiden, Ford memberi Richard Nixon pengampunan penuh atas penglibatannya dalam skandal Watergate yang membawa kepada peletakan jawatan. Kecaman meluas terhadap keputusan Ford itu dianggap telah menyumbang kepada kegagalannya memenangi pemilihan semula pada tahun 1976.

Pada hari pertama, Reagan telah memulakan dengan tergesa-gesa, mengumumkan pembebasan diplomat AS yang menjadi tebusan di Iran. Obama seperti Roosevelt juga telah mengambil alih jawatan semasa krisis kewangan yang teruk dengan meminta Kongres meluluskan pakej rangsangan AS$787 juta, Akta Pemulihan dan Pelaburan Semula Amerika, pada hari ke-29 beliau memegang jawatan.

Dalam artikel terbitan Wall Street Journal, David Greenberg pernah menulis tentang “The Folly of the First Hundred Days”. Karyanya menerangkan beberapa presiden AS yang melakukan banyak perkara dalam 100 hari pertama seperti Roosevelt dan Reagan manakala sesetengah presiden sangat bimbang tentang penanda aras itu, antaranya termasuklah Kennedy.

Selepas itu konsep tersebut turut menjadi ikutan penanda aras dalam bidang-bidang lain, terutama korporat. Begitu juga tempoh 100 hari penting dalam kehidupan manusia dan dijadikan sebahagian budaya kaum-kaum tertentu.

Bacaan saintifik menunjukkan bahawa 100 hari pertama kehidupan adalah masa kritikal dalam perkembangan otak bayi. Dalam tempoh itu bayi dikatakan membina hubungan awal kehidupan. Sementara itu, dalam budaya Asia, sambutan 100 hari adalah majlis jamuan yang menandakan bayi mencapai pencapaian 100 hari pertama. Misalnya, kepercayaan orang Cina ialah mengadakan majlis khas pada hari ke-100 akan memberkati bayi dengan kehidupan yang makmur. Begitu juga amalan dua minggu pertama dan 30 hari pertama dalam sesetengah budaya dan kaum.

Bagi pelajar, hari ke-100 persekolahan adalah peristiwa penting yang menarik untuk setiap bilik darjah peringkat rendah. Ia menandakan kedua-dua titik pertengahan tahun dan masa penting untuk menetapkan matlamat baharu dan menyelaraskan semula pandangan baharu.

Banyak lagi penanda aras 100 hari pertama wujud dalam kehidupan kita. Semuanya mempunyai maksud dan kepentingan tersendiri. Begitulah dalam politik – 100 hari pertama dijadikan penanda aras yang menjadi kayu ukuran kejayaan dan kegagalan awal satu-satu pentadbiran.

Michael D. Watkins, pengasas Genesis Advisers dan penulis buku “The First 90 Days and Master Your Next Move” mengatakan bahawa “tanda 100 hari pertama bukanlah penghujung cerita, ia adalah permulaan kepada penghujung.”

Pemimpin yang memasuki peranan baharu boleh tersandung teruk dan masih boleh pulih. “Dan itulah sebabnya tempoh peralihan sangat penting,” kata beliau.

Sebenarnya Greenberg menarik perharian bahawa “100 hari pertama adalah sangat penting, tetapi dalam dunia yang lebih baik ia tidak akan berlaku.”

Tempoh itu harus dijadikan asas kepada penyampaian yang lebih baik dalam memenuhi apa yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya.

Kabinet

Kembali kepada pentadbiran kerajaan perpaduan banyak perkara boleh dijadikan panduan dalam membina sebuah pentadbiran lebih baik. Berbanding pentadbiran kali pertama PH antara Mei 2018 dan Februari 2020, tempoh 22 bulan, barisan Kabinet kali ini mempunyai gabungan anggota pentadbiran yang lebih baik dan berpengalaman.

Bagi mana-mana pentadbiran setiap saat, minit dan hari adalah penting dalam memastikan kepentingan rakyat dipelihara dan terus ditambah baik. Ketika kita cuba keluar daripada impak jangka panjang pandemik Covid-19 dan masalah ekonomi global, penambahbaikan lestari adalah penting.

Penghujung Januari lalu bekas timbalan perdana menteri Musa Hitam dipetik berkata, masa untuk kerajaan perpaduan bercakap mengenai pelbagai isu dihadapi negara telah berlalu dan kini adalah masa untuk mengambil tindakan proaktif bagi menyelesaikannya.

Beliau merujuk ucapan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, yang memberitahu satu panel yang sama bahawa ia akan mengambil masa dua hingga tiga tahun untuk menangani masalah ekonomi Malaysia, sambil berkata orang ramai hanya memberi Putrajaya “tiga hingga enam bulan”.

Menyokong pandangan Musa, veteran DAP Lim Kit Siang pula memberitahu sudah tiba masa untuk kerajaan perpaduan bertindak dan bukannya bercakap semata-mata.

Apa pun keadaannya, dengan beberapa inisiatif sudah mula dilaksanakan oleh kerajaan perpaduan, tidak kira tempoh ukuran yang digunakan, usaha perlu dilipatgandakan untuk memenuhi keperluan dan kehendak rakyat.

Berjaya dalam 100 hari pertama bukan bermakna akan merekodkan kejayaan susulan, dan begitulah sebaliknya. Fokus awal perlulah menyelesaikan isu sosioekonomi terutama yang berkaitan dengan kos sara hidup, dan usaha meningkatkan semula kualiti hidup.

Penanda aras 100 hari pertama bukan magis, tetapi dasar yang diperkenalkan akan menjadi ingatan rakyat, tidak kira apa jua pentadbiran. Ia penting untuk mandat penggal seterusnya. – 6 Mac, 2023.

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen