PELAJAR perempuan di Iran sekali lagi menjadi sasaran serangan racun, lapor media semalam, dalam gelombang insiden itu yang mencetuskan kebimbangan ibu bapa dan mendesak pihak berkuasa bertindak.
Sejak lebih tiga bulan lalu, ratusan pelajar perempuan dilaporkan mengalami gejala seperti kesukaran bernafas, mual dan vertigo selepas terkesan dengan bau yang “tidak menyenangkan” dan “tidak diketahui”.
“Tiba-tiba ada bau busuk sangat, saya jadi pening dan jatuh,” kata seorang pelajar.
Kes keracunan itu yang menyebabkan beberapa pelajar perempuan dimasukkan ke hospital, menjadi topik perbualan hangat negara itu, dengan Timbalan Menteri Kesihatan Younes Panahi minggu lalu berkata serangan itu disyaki bertujuan menyekat pendidikan untuk kanak-kanak dan pelajar perempuan.
Kes mula berlaku lebih lima bulan lalu selepas bermulanya siri protes, yang dilabelkan sebagai rusuhan oleh pihak berkuasa, tercetus daripada kematian wanita Iran Mahsa Amini, 22, yang ditahan kerana dikatakan melanggar etika berpakaian wanita di Iran.
Menteri Dalam Negeri Ahmad Vahidi melaporkan penemuan sampel mencurigakan ketika pemeriksaan di kawasan terjejas, tetapi tidak memberikan maklumat lanjut.
Kebanyakan kes keracunan sejak November tahun lalu dilaporkan di bandar Qom, yang terletak di selatan ibu negara Tehran, dengan sekurang-kurangnya 52 sekolah di seluruh negara menjadi sasaran.
Kes keracunan terbaru turut menjejaskan pelajar di Abhar dan Ahvaz, lapor agensi media ISNA.
Kanak-kanak perempuan sekolah rendah juga menjadi sasaran di bandar Zanjan, dengan lebih banyak kes dilaporkan di Mashhad, Isfahan dan Shiraz, lapor media. – AFP, 6 Mac, 2023.
Komen