LEBIH 300 mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chong Hwa Sri Medan, Yong Peng, Johor terpaksa dipindahkan susulan dinaiki air sejak dua hari lalu.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat Ismail Dollah berkata mereka akan dipindahkan ke SJKC Hwa Ming, Taman Maju di Batu Pahat malam ini, dengan menggunakan aset daripada pelbagai agensi antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Tentera Malaysia.
“PPS ini boleh menampung sehingga 300 orang dan apabila berlaku kenaikan paras air kira-kira 0.3 meter, kita buat keputusan untuk pindahkan mangsa malam ini,” katanya.
PPS itu menempatkan 315 orang daripada 110 keluarga sejak dibuka pada 2 Mac lalu.
Penduduk yang ditempatkan di PPS itu, Siti Sarah Sulaiman, 35, berkata air mula melimpah ke dalam PPS sejak dua hari lalu.
Ibu kepada tiga orang anak itu berkata dia mula ditempatkan di PPS itu Khamis lalu apabila rumahnya di Parit Simen Sri Basir dinaiki air hingga paras pinggang.
“Pada waktu itu, tiada air banjir dalam PPS tetapi dalam tempoh dua hari (bermula Sabtu) air mula melimpah masuk ke dalam PPS.
“Saya risau kerana ada anak kecil berusia dua tahun yang nak ‘main’ air,” katanya yang turut menarik nafas lega apabila diarahkan berpindah ke PPS lain.
Tinjauan di Sri Medan Jaya mendapati kawasan pekan lumpuh dengan laluan yang ada sudah mula dinaiki air dan hanya dibuka kepada kenderaan berat dan kereta pacuan empat roda, serta beberapa rumah di Jalan Besar Sri Medan masih ditenggelami air. – Bernama, 5 Mac, 2023.
Komen