Polis pantau propaganda berkaitan Daesh di media sosial, kata KPN


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) kini memantau rapi aktiviti media sosial kumpulan di negara ini yang dikaitkan dengan pengganas Daesh seperti dilaporkan oleh beberapa media tempatan.

Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata laporan itu didapati berasaskan maklumat yang diperoleh daripada Nordic Counter Terrorism Network dari Finland.

Beliau berkata PDRM sejak awal sudah mengesan dan terus memantau secara rapi penyebaran propaganda melalui media sosial yang digunakan kumpulan pengganas itu untuk meraih sokongan.

“Antara langkah PDRM adalah mewujudkan kolaborasi rapat dengan agensi keselamatan serantau bagi memantau penyebaran propaganda sedemikian agar tindakan dapat diambil ke atas pihak yang dikenal pasti.

“Dalam usaha ini, semua agensi sedang memainkan peranan secara aktif dan pemantauan ditingkatkan bagi memastikan tahap ancaman keselamatan terjamin,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Acryl Sani turut memberi jaminan situasi semasa tahap keselamatan negara terkawal dan menasihati orang ramai supaya tidak gusar dengan laporan media berhubung perkara itu.

Katanya PDRM komited dalam memastikan sebarang kegiatan yang boleh mendatangkan kemudaratan ketenteraman awam diambil tindakan tegas tanpa kompromi demi mengekalkan kesejahteraan masyarakat. – Bernama, 5 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen