SEORANG anggota polis berpangkat lans koperal menembak mati isterinya di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat, Perlis pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kangar Yusharifuddin Mohd Yusop berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki yang dipercayai abang ipar suspek, bahawa berlaku tembakan di rumah suspek.
“Apabila tiba di tempat kejadian kira-kira pada jam 8 pagi, anggota yang bertugas cuba berhubung dengan suspek namun gagal, menyebabkan polis membuat serbuan ke rumah itu pada jam 9 pagi,” katanya.
Yusharifuddin berkata pihaknya berjaya menahan suspek dan juga merampas senjata api yang digunakan.
“Ketika ditahan, suspek berada dalam bilik tidur utama bersama mayat isterinya berumur 26 tahun.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan pada mata kiri dan meninggal akibat tembakan di tempat kejadian,” katanya.
Yusharifuddin berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk dibedah siasat.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan polis akan mendapat perintah reman esok.
“Kami masih lagi menyiasat motif kejadian,” katanya. – Bernama, 5 Mac, 2023.
Komen