3 ditahan kes pembunuhan gabenor Filipina


Seorang anggota bersenjata pasukan tindakan khas polis berkawal di hadapan dewan perbandaran di bandar Pamplona di Negros Oriental hari ini, sehari selepas gabenor wilayah Roel Degamo dan lapan yang lain terbunuh. – Gambar AFP, 5 Mac 2023.

TIGA suspek ditahan susulan pembunuhan seorang gabenor wilayah Filipina dan lapan yang lain, kata pihak berkuasa pada Ahad, sambil menambah seorang lagi suspek terbunuh dalam kejadian berbalas tembakan.

Tujuh belas orang turut cedera dalam serangan berani mati pada Sabtu di kawasan penanaman tebu di Filipina.

Gabenor wilayah Negros Oriental di tengah Filipina, Roel Degamo dan lima lagi mangsa ditembak mati oleh lelaki bersenjata yang tidak dikenali semalam.

Sekurang-kurangnya 17 yang lain termasuk seorang doktor dan dua anggota tentera turut cedera dalam serangan ketika program mengagihkan bantuan kepada penduduk miskin itu.

“Gabenor wilayah Negros Oriental tidak sepatutnya berdepan kematian tragik seperti ini,” kata balunya, Janice Degamo, yang juga datuk bandar Pamplona, menerusi rakaman video dimuat naik di Facebook.

Polis tempatan berkata, enam suspek yang membawa senapang dan berpakaian seragam sama seperti anggota perkhidmatan bersenjata, memasuki rumah gabenor di bandar Pamplona dan melepaskan tembakan.

Sementara itu, Presiden Ferdinand Marcos Jr mengutuk apa yang disifatkannya sebagai ‘pembunuhan’ sekutu politiknya dan memberi amaran kepada pelaku untuk ‘menyerah diri’ sebagai tindakan terbaik.

“Kerajaan tidak akan berhenti sehingga pelaku jenayah keji ini dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Jurucakap polis, Kym Lopez berkata polis sedang mengesan 10 suspek termasuk enam lelaki bersenjata yang melarikan diri dari tempat kejadian dengan dua kenderaan utiliti sukan dan trak pikap sebelum meninggalkan kenderaan itu di bandar berhampiran.

Polis bertindak pantas melakukan sekatan jalan raya lewat malam tadi, yang mana tiga suspek ditahan termasuk dua bekas anggota tentera dan seorang dibunuh ketika dikejar polis awal pagi tadi. – AFP, 5 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen