TUJUH anggota kumpulan militan Al-Shabaab dibunuh pada Rabu oleh pasukan tentera Somalia di bandar pelabuhan Kismayo yang terletak di selatan negara itu, lapor agensi berita China Xinhua.
Komander tentera Somalia di Kismayo, Mukhtar Abdi, memaklumkan pemberita pasukannya melancarkan serangan hendap ke atas militan terbabit selepas mendapat maklumat berkaitan kawasan Wirkoy.
“Selepas menerima maklumat mereka merancang untuk melancarkan serangan di kawasan Wirkoy, kami bergerak pantas dan membunuh ketujuh-tujuh pejuang Al-Shabaab itu,” katanya.
Seorang anggota tentera cedera dalam pertempuran singkat itu.
Al-Shabaab bagaimanapun belum mengulas insiden tersebut.
Pasukan keselamatan Somalia akan meneruskan serangan ke atas kumpulan militan yang berada di bahagian selatan negara itu.
Kismayo, yang pernah menjadi sumber pendapatan utama Al-Shabaab, ditawan oleh pasukan tentera Kenya pada 2012 dan ini memaksa kumpulan militan itu berpindah ke bandar berhampiran. – Bernama, 5 Mac, 2018.
Komen