LELAKI yang membakar sebuah kasino di Manila, membunuh 37 orang, adalah warga Filipina dengan hutang judi yang banyak, dan bukan pengganas, kata polis hari ini.
“Kami menegaskan ini bukan tindakan pengganas tetapi melibatkan seorang lelaki sahaja,” kata Ketua Polis Manila Oscar Albayalde selepas identiti lelaki itu dikenal pasti.
Albayalde berkata lelaki itu, Jessie Carlos, 43, bapa kepada tiga dari Manila yang dilarang masuk ke semua kasino pada April berikutan permintaan keluarganya kerana ketagihan judi.
“Dia banyak terhutang budi kerana ketagih judi kasino. Ia menjadi punca salah faham dia dengan isteri dan ibu bapanya,” kata Albayalde.
Lelaki bertopeng menyerbu masuk ke dalam kompleks kasino dan hotel Resorts World di Manila pada Jumaat dengan senapang automatik M4 dan sebotol petrol, sebelum membakar beberapa bilik yang berbeza di kompleks tersebut.
Seramai 37 orang mati dalam kebakaran, puluhan lagi cedera ketika cuba menyelamatkan diri akibat dirempuh, dan lelaki bersenjata itu ditemui mati kira-kira lima jam kemudian di bilik hotel selepas membunuh diri dengan membakar dirinya, kata polis.
Kumpulan militan Islamic State (IS) mengaku bertanggungjawab, dengan laporan agensi berita Amaq yang mengatakan ia dilakukan “pejuangnya”.
Pihak berkuasa berulang kali menegaskan pada Jumaat dan Sabtu yang serangan itu tidak mempunyai kaitan dengan pengganas, sebaliknya percubaan rompakan pelik oleh seorang lelaki tidak waras.
Albayalde berkata pada Ahad, pengesahan identiti penyerang itu membuktikan teori awal adalah betul.
“Kami tidak akan membenarkan orang atau mana-mana kumpulan mengancam menggunakan keadaan ini untuk menjayakan propaganda mereka atau sebab peribadi, sama ada pihak asing atau tempatan,” kata Albayalde merujuk kepada dakwaan IS.
Albayalde berkata demikian dalam sidang media bersama beberapa ahli keluarga Carlos yang duduk di sebelahnya.
“Mereka melahirkan simpati kepada keluarga dan rakan mangsa serta orang ramai secara umum,” katanya.
“Mereka berkongsi kesakitan yang dilakukan Jessie. Hari ini, kami berharap memberi penutupan dan keamanan kepada keluarga yang berkabung.” – AFP, 4 Jun 2017.
Komen