5 maut letupan di loji oksigen Bangladesh


Keadaan di luar loji oksigen di bandar perindustrian Sitakund selepas berlaku letupan yang meragut 5 nyawa. – Gambar EPA, 5 Mac, 2023.

SEKURANG-KURANGNYA lima orang terbunuh dan puluhan cedera dalam satu letupan di loji oksigen di luar bandar pelabuhan Chittagong, Bangladesh pada Sabtu, kata pegawai.

Letupan itu menggegarkan unit oksigen kilang Sheema di bandar perindustrian Sitakunda pada kira-kira 4:30 petang (1030 GMT), memerangkap “ramai pekerja” di dalam loji itu, kata ketua polis tempatan Tofael Ahmed.

“Pihak bomba memadamkan api dan menyelamatkan orang ramai dari loji itu,” tambahnya.

Pentadbir daerah Mohammad Fakhruzzaman memberitahu AFP sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dalam letupan itu dan 25 orang lagi cedera.

Saksi Muslim Uddin berkata letupan itu “sangat kuat dan dahsyat” sehingga menggegarkan semua rumah kediaman di kawasan itu.

“Cermin di banyak rumah pecah. Seluruh kawasan menjadi gelap,” katanya kepada AFP.

Kerajaan mengarahkan siasatan terhadap letupan itu.

Letupan industri dan kebakaran sering berlaku di Bangladesh susulan kelemahan penguatkuasaan keselamatan oleh pihak berkuasa kilang.

Pada Jun tahun lalu, kebakaran dan letupan di sebuah depoh kontena di bandar perindustrian yang sama menyebabkan lebih 50 orang terkorban. – AFP, 5 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen