3 ahli Parlimen DAP fail usul minta speaker jawab soalan 1MDB


Melati A. Jalil

Tiga ahli Parlimen DAP akan memfailkan usul bagi membahaskan keputusan speaker Dewan Rakyat yang menolak soalan dan usul berkaitan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB). 

TIGA ahli Parlimen DAP akan memfailkan usul bagi membahaskan keputusan speaker Dewan Rakyat yang menolak soalan dan usul berkaitan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB). 

Nga Kor Ming (DAP-Taiping) berkata mereka tidak akan memohon maaf, sebaliknya mahu Speaker Pandikar Amin Mulia untuk memberi penjelasan mengapa laporan ketua audit negara berhubung 1MDB diklasifikasikan sulit di bawah Akta Rahsia Rasmi jika benar tiada penyelewengan berlaku, dan mengapa tiada usaha daripada kerajaan Malaysia untuk menuntut wang yang didakwa diseleweng daripada 1MDB seperti dalam dokumen saman Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ).

“Oleh kerana speaker tidak benarkan kami untuk bertanyakan soalan di Parlimen, kami cadangkan supaya beliau menjawab soalan-soalan kami,” kata Nga di Parlimen hari ini. 

“Dan tidak ada sebab untuk minta maaf. Niat kami jelas dan tidak ada sebarang rasa kesal.

“Kami hormat speaker, tapi secara jujurnya percaya yang beliau di bawah tekanan hebat daripada kerajaan Barisan Nasional yang ingin menutup perkara ini. Kami akan terus mencari keadilan,” katanya. 

Dalam sepucuk surat bertarikh 13 Mac, Pandikar meminta Nga, Ngeh Koo Ham (DAP-Beruas) dan V. Sivakumar (DAP-Batu Gajah) memohon maaf secara terbuka di Dewan Rakyat kerana menuduh beliau bersubahat menutup skandal rasuah.  

Beliau berkata ketiga-ketiga MP itu bakal berdepan tindakan yang keras sekiranya gagal untuk memohon maaf.  – 15 Mac, 2018.

MENYUSUL LAGI


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen