PBB gesa penempatan semula pelarian Syria terjejas gempa bumi di Turkiye 


Gempa bumi Turkiye-Syria bulan lalu menjejaskan kira-kira 9 juta orang, dengan lebih 1.7 juta adalah pelarian Syria. – Gambar EPA, 5 Mac, 2023.

PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Sabtu menggesa negara-negara mempercepatkan mengambil pelarian Syria dari zon yang dilanda gempa bumi di Turkiye, berkata mereka berdepan trauma kehilangan dan perpindahan sekali lagi.

PBB membuat gesaan itu ketika 89 pelarian Syria tiba di Madrid dari Turkiye.

Gempa bumi berukuran 7.8 magnitud pada 6 Februari membunuh lebih 45,000 orang di Turkiye dan ribuan lagi di negara jiran Syria dan memusnahkan sepenuhnya ratusan ribu bangunan.

Selama hampir 12 tahun, Turkiye menjadi tuan rumah kira-kira 3.5 juta pelarian Syria yang melarikan diri dari perang saudara. Gempa bumi bulan lalu menjejaskan kira-kira 9 juta orang, dengan lebih 1.7 juta adalah pelarian.

“Ramai pelarian yang melarikan diri ke Turkiye untuk mendapatkan keselamatan dan perlindungan kini menghadapi trauma kehilangan nyawa dan perpindahan sekali lagi - kehilangan tempat tinggal dan mata pencarian,” kata Pertubuhan Antarabangsa PBB untuk Migrasi dan agensi pelarian PBB UNHCR dalam satu kenyataan bersama.

“Untuk membantu melindungi pelarian yang paling berisiko, dan bagi membantu mengurangkan tekanan terhadap masyarakat tempatan yang turut terjejas akibat bencana kemanusiaan ini, UNHCR merayu agar negara mempercepatkan proses penempatan semula dan berlepas,” kata ketua UNHCR Filippo Grandi.

Memandangkan ramai pelarian yang terjejas akibat bencana itu “sangat memerlukan bantuan, kami menggesa lebih banyak negara meningkatkan dan mempercepatkan proses, membolehkan mereka keluar segera dari Turkiye”, katanya.

“Ini adalah ekspresi nyata perpaduan dan perkongsian tanggungjawab dan akhirnya akan memastikan penyelesaian segera yang mengubah hidup bagi pelarian yang menjadi lebih terdedah akibat gempa bumi.”

Berterima kasih kepada Sepanyol kerana tampil membantu, ketua Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi Antonio Vitorino menambah: “Kami berharap dapat melihat usaha ini dicontohi dengan segera.” – AFP, 5 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen