RoS lulus usul tambahan Umno tidak tanding dua jawatan utama


Perhimpunan Agung Umno Januari lalu meluluskan usul tambahan supaya dua jawatan presiden dan timbalan presiden parti tidak dipertandingkan pada Pemilihan Umno. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Mac, 2023.

JABATAN Pendaftaran Pertubuhan (RoS) membersihkan Umno daripada sebarang salah laku selepas parti itu meluluskan usul tidak bertanding jawatan presiden dan timbalan presiden.

Keputusan RoS didedahkan oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

“Setiausaha agung menerima surat bertarikh 3 Mac daripada kementerian dalam negeri untuk memaklumkan kepada kami keputusan menteri mengenai usul itu,” katanya pada sidang media hari ini.

RoS terletak di bawah bidang kuasa kementerian dalam negeri.

Bulan lalu, dilaporkan RoS menyiasat kemungkinan pelanggaran perlembagaan parti selepas usul itu diluluskan.

Siasatan itu dibuat selepas dua ahli Umno membuat laporan kepada RoS mendakwa pembentangan usul pada perhimpunan agung Umno melanggar Perkara 10 perlembagaan parti.

Mereka menegaskan ia perlu dibentangkan dua minggu sebelum perhimpunan agung atau tujuh hari jika dibentangkan oleh ahli Majlis Kerja Tertinggi. – 4 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen