Bali sunyi sehari sempena festival Nyepi


Penduduk tempatan Bali beragama Hindu menyiapkan patung syaitan dikenali sebagai Ogoh-Ogoh, yang akan diarak ke jalan raya sebelum dibakar sebagai simbol pembaharuan dan penyucian, sehari sebelum menjelang Hari Nyepi. – Gambar AFP, 15 Mac, 2018.

PULAU pelancongan terkenal Indonesia, Bali akan senyap daripada segala aktiviti dengan perkhidmatan Internet dan penerbangan dihentikan untuk meraikan “Hari Nyepi”.

Penduduk pulau Hindu itu akan menghentikan aktiviti harian untuk sehari bagi mengadakan meditasi, berpuasa dan mengkaji diri, satu acara keagamaan tahunan yang termasuk upacara di tepi pantai dan efigi berbentuk syaitan.

Pulau itu dijangka tidak akan melakukan aktiviti di luar rumah pada Sabtu, sementara pasangan yang belum berkahwin akan menciumi satu sama lagi sementara penduduk menyiram air kepada mereka dalam satu acara dipanggil Omed-omedan.

Kedai dan pusat tumpuan pelancong akan ditutup pada hari itu tetapi perkhidmatan awam seperti hospital akan dibuka.

Pada Jumaat, patung dikenali sebagai Ogoh-Ogoh, yang mewakili syaitan akan diarak ke jalan raya sebelum dibakar sebagai simbol pembaharuan dan penyucian.

Beberapa hari menjelang festival itu, persembahan Melastri akan diadakan dan ia termasuk perarakan ke pantai di mana mereka mengadakan upacara membabitkan belati tradisi.

Penganut bukan Hindu termasuk pelancong yang membanjiri pulau itu, diminta berada di rumah atau hotel masing-masing.

Kereta dan motosikal tidak dibenarkan berada di jalanan kecuali jika kecemasan sementara lampu di dalam rumah dan lampu jalan dipadam.

Penyedia perkhidmatan Internet diarah menutup perkhidmatan mereka, kecuali untuk perkhidmatan awam.

Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai akan ditutup 24 jam bermula 6 pagi waktu tempatan, bakal menjejaskan 480 penerbangan termasuk hampir 240 penerbangan antarabangsa.

“Sebenarnya ramai pelancong datang khusus untuk mengalami sendiri ketenangan dan kesunyian Nyepi,” kata jurucakap lapangan terbang Yanus Suprayogi.

Indonesia ialah negara majoriti Islam tetapi lebih 80% populasi di Bali beragama Hindu yang mengamalkan agama itu versi tempatan. – AFP, 15 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen