Saya tidak terlibat dalam rancangan politik Mukhriz, kata Dr Mahathir


Dr Mahathir Mohamad berkata Mukhriz bebas melakukan apa sahaja untuk parti yang diterajuinya ketika ini kerana Malaysia adalah negara demokrasi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Mac, 2023.

SUSULAN permohonan Pejuang untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata beliau tidak terlibat dalam perancangan politik yang diatur anaknya Mukhriz yang juga Presiden Pejuang.

Bercakap pada sidang media selepas menghadiri Dialog Sepentas Perjuangan Yang Hilang di Putrajaya hari ini Dr Mahathir berkata Mukhriz bebas melakukan apa sahaja untuk parti yang diterajuinya ketika ini kerana Malaysia adalah negara demokrasi.

“Negara kita bebas. Dia (Mukhriz) boleh boleh buat apa sahaja, cuma sama ada disambut baik atau tidak, itu soal lain,” katanya mengulas tindakan Mukhriz yang menghantar surat permohonan untuk menyertai PN.

Menurut laporan media surat berkenaan diutuskan kepada Pengerusi PN Muhyiddin Yassin pada 1 Mac lepas dan turut diberikan kepada Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Presiden Gerakan Dominic Lau.

Dr Mahathir keluar daripada Pejuang yang diasaskannya pada 10 Februari lepas ekoran tindakan parti berkenaan memutuskan hubungan dengan Gerakan Tanah Air (GTA) dan menyertai Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) pada 1 Mac lepas.

Dr Mahathir berkata Putra akan dijadikan sebagai platform untuk beliau terus memperjuangkan hak orang Melayu di negara ini. – Bernama, 4 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen