OKU mahu saman bank tidak beri kad debit


Desmond Davidson

Golongan OKU penglihatan berkata hak mereka untuk mendapatkan kad bank dinafikan oleh beberapa bank. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Mac, 2023.

GOLONGAN Orang Kurang Upaya (OKU) cacat penglihatan memutuskan untuk menyaman bank yang enggan memberikan mereka kad bank selepas membuka akaun di sektor perbankan berkenaan.

Presiden Persatuan Orang Buta Mohammad Nazari Othman pada mesyuarat agung dwitahunan SBM Sarawak bahagian di Miri minggu lepas menjelaskan mereka akan melawan mana-mana bank yang menafikan hak golongan cacat penglihatan ke atas kemudahan perbankan itu dengan saman diskriminasi.

Pengerusi SBM cawangan Sarawak Isak Ngau berkata alasan yang diberikan kepada golongan itu adalah tidak munasabah.

“Mereka berkata adalah berbahaya untuk golongan OKU buta memiliki kad bank kerana bimbang ditipu oleh orang lain.

“Malah mereka juga bimbang sekiranya kad berkenaan akan hilang.

“Itu hanya diskriminasi,” katanya.

Beliau berkata tanpa kad itu, golongan cacat penglihatan tidak boleh membuat pengeluaran tunai di luar waktu perbankan.

Dia berkata kadangkala perkara itu menyukarkan mereka apabila tidak mempunyai atau kekurangan wang tunai pada masa yang diperlukan.

Mereka pasti tidak boleh membeli tanpa tunai dan mereka juga tidak boleh membuat pembelian dalam talian.

Ngau juga mempersoalkan apa relevannya kemudahan mesin ATM mesra golongan OKU buta diwujudkan tetapi mereka tidak dapat menggunakannya.

Katanya, diskriminasi itu bermula apabila mereka mahu membuka akaun bank.

“Kami perlu membawa saksi,” kata mereka.

Beliau bagaimanapun menjelaskan dasar itu bukan amalan industri.

“Hanya sebilangan kecil yang tidak melanggan dasar diskriminasi. Tetapi majoritinya,” katanya dan menamakan institusi kewangan yang memberikan kad itu sebagai Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), Bank Islam, RHB dan Bank Simpanan Nasional (BSN) milik kerajaan.

Tetapi Ngau berkata RHB mempunyai dasar yang agak membingungkan.

Beliau berkata beberapa cawangannya ada memberikan golongan itu kad bank manakala yang lain tidak.

“Dasar ini tidak seragam dalam bank yang sama. Nampaknya pengurus cawangan membuat dasar seperti yang difikirkannya sesuai,” katanya.

Ngau berkata beberapa bank akan memberikan kad itu jika akaun yang dibuka adalah akaun bersama dengan pemegang lain yang normal penglihatan.

“Mereka tidak boleh memaksa kami untuk membuka akaun bersama.

“Saya tidak mahu membuka akaun bersama walaupun orang lain itu adalah isteri saya.

“Mereka sepatutnya menghormati hak kami,” katanya.

Untuk mengatasi masalah mereka, golongan OKU akan membuka akaun dengan bank yang memberikan kad tersebut.

“Kad itu boleh digunakan di mana-mana, walaupun di ATM bank yang enggan memberikan kami kad itu,” kata Ngau.

Mohammad berkata masalah itu menafikan hak mereka sebagai warganegara Malaysia.

Tambahnya beliau akan bertemu Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri awal bulan depan mengenai isu-isu berkaitan golongan OKU buta. – 5 Mac, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen