Pakatan Terengganu sokong sekat ceramah politik di masjid


Diyana Ibrahim

Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata larangan itu tepat pada masanya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Mac, 2023.

PAKATAN Harapan (PH) Terengganu menyokong sepenuhnya larangan terhadap ahli politik termasuk ahli Parlimen memberikan kuliah atau ceramah agama di seluruh masjid serta surau di negeri itu.

Pengerusinya Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata larangan itu tepat pada masanya sebagai usaha mengekang penyebaran perkara tidak sihat terutamanya berkaitan politik kepartian.

“Memandangkan negara baru melangkah keluar daripada krisis Covid-19 dan keadaan ekonomi dunia dan negara yang lemah, kestabilan negara sepatutnya menjadi keutamaan dan bukan persengketaan yang disemai.

“Semoga semua pihak menghormati kebajikan umum rakyat dan memupuk persaudaraan serta perpaduan untuk membela masyarakat dan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai larangan yang dikeluarkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) mengenai arahan larangan penyampaian kuliah agama, ceramah dan penganjuran aktiviti berunsur politik oleh ahli politik di semua masjid dan surau di Terengganu.

Yang Dipertuanya, Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata larangan itu termasuk semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), ahli Dewan Rakyat dan ahli Dewan Negara.

Beliau berkata, masjid dan surau adalah institusi agama yang sangat mulia dan menjadi lambang penyatuan umat Islam, oleh itu ia tidak boleh disalah guna untuk tujuan politik yang boleh menimbulkan keresahan dalam masyarakat.

Selain larangan kuliah, ceramah dan aktiviti berunsur politik, Shaikh Harun berkata semua Adun, ahli Parlimen dan ahli Dewan Negara juga tidak dibenarkan menjadi imam dan khatib di masjid dan surau di negeri itu.

Malah katanya semua pengerusi dan ahli jawatankuasa masjid dan surau perlu memastikan penceramah, pengkuliah, tenaga pengajar serta khatib solat Jumaat yang dijemput mempunyai tauliah atau kelulusan yang dikeluarkan oleh Maidam.

Mengulas lanjut, Raja Kamarul Bahrin berkata larangan itu boleh mengekang suasana toksik politik kepartian yang sempit.

Katanya larangan itu juga pasti disokong majoriti rakyat negeri itu yang mahu masjid dan surau dijadikan sebagai rumah ibadat yang menyatukan rakyat melalui mesej perpaduan dan bukan perpecahan. – 4 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen