MCA lihat semua senario hadapi pilihan raya negeri, kata Ka Siong


Presiden MCA Wee Ka Siong mengakui kuasa rundingan parti itu amat lemah ketika ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Mac, 2023.

MCA berkemungkinan besar bertanding dalam enam pilihan raya negeri tahun ini menggunakan benderanya sendiri dan bukan di bawah Barisan Nasional, kata presidennya Wee Ka Siong hari ini.

Bagaimanapun senario lain yang mungkin adalah parti itu sama sekali tidak menyertai pilihan raya.

Wee, dalam ucapan presidennya ketika memperingati ulang tahun ke-74 MCA, seterusnya berkata MCA juga boleh meminta sejumlah kecil kerusi untuk bertanding.

“Dari 2008 hingga sekarang, kami mengalami lebih banyak kekalahan berbanding kemenangan di enam negeri ini. Dalam keadaan ini, saya akan katakan MCA tidak mempunyai kuasa rundingan langsung dan kami akan menghadapi proses rundingan yang amat sukar.

“Kami tidak boleh menafikan rundingan politik sentiasa berdasarkan kekuatan dalam jumlah dan kekuatan ini akan menentukan kuasa rundingan kami.

“Kami mesti mengakui MCA ketika ini sangat lemah dalam aspek ini. Sekarang ini, kami tidak mempunyai wakil rakyat langsung di semua enam negeri (menghadapi pilihan raya),” kata Wee.

Enam negeri itu adalah Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Bekas menteri pengangkutan itu juga berkata, situasi di peringkat persekutuan juga bermakna MCA bukan sahaja perlu berurusan dengan BN bagi rundingan kerusi tetapi juga dengan Pakatan Harapan.

“Kami mesti menerima hakikat peruntukan kerusi bukan lagi sekadar perbincangan dalam BN tetapi juga rundingan dengan PH.

“Ini sudah tentu membabitkan faktor yang lebih rumit dan membawa kepada keputusan yang lebih tidak dijangka,” katanya.

Beliau menambah realitinya MCA hanya mempunyai dua ahli Parlimen dan “hanya segelintir” Ahli Dewan Undangan Negeri di Johor, Melaka dan Perak. – 4 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen