SEORANG gabenor wilayah di tengah Filipina dan beberapa yang lain ditembak oleh lelaki bersenjata yang tidak dikenali hari ini dalam serangan terbaru terhadap pegawai tempatan, kata polis.
Gabenor wilayah Negros Oriental, Roel Degamo dan beberapa orang awam dibawa ke hospital selepas ditembak di rumah Degamo di bandar Pamplona, kata satu kenyataan polis.
Polis berkata keadaan mangsa yang dimasukkan ke hospital tidak diketahui.
Beberapa lelaki bersenjata memasuki kawasan berkenaan dan melepaskan tembakan ketika ahli politik itu mengagihkan bantuan kepada pengundi, jurucakap polis wilayah Kym Lopez memberitahu AFP.
Degamo, 56, adalah yang terbaharu menjadi sasaran dalam serangan terhadap ahli politik dan sekurang-kurangnya yang ketiga ditembak sejak pilihan raya tempatan tahun lepas.
Mahkamah Agung bulan lalu mengisytiharkan beliau sebagai pemenang sah untuk jawatan gabenor Negros Oriental selepas pengiraan semula dibuat yang mengalahkan saingan tempatannya yang sebelum ini diumumkan sebagai pemenang.
Jurucakap polis Lopez berkata tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini.
Februari lalu Gabenor wilayah selatan Lanao del Sur, Mamintal Adiong ditembak dan cedera dalam serangan yang menyebabkan pemandunya dan tiga pengiring polis terbunuh.
Pada bulan sama naib datuk bandar utara bandar Aparri, Rommel Alameda dan lima lain ditembak mati dalam serangan hendap di lebuh raya.
Dalam serangan hendap bermotif politik paling berdarah dalam rekod, pemimpin puak selatan yang berkuasa dan kira-kira puluhan pengikut dijatuhi hukuman penjara seumur hidup akibat serangan pada 2009 ke atas penyokong pesaing pilihan raya gabenor di wilayah Maguindanao.
Serangan itu menyebabkan 58 orang terbunuh termasuk isteri ahli politik dan ahli keluarga mereka bersama 32 wartawan dan pekerja media yang membuat liputan. – AFP, 4 Mac, 2023.
Komen