Biden terima kunjungan canselor Jerman, adakan rundingan di White House


Presiden AS Joe Biden dan Canselor Jerman Olaf Scholz mengadakan rundingan tertutup di White House. – Gambar AFP, 4 Mac, 2023.

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Joe Biden pada Jumaat menerima kunjungan Canselor Jerman Olaf Scholz di White House untuk mengadakan rundingan tertutup, ketika sekutu Nato berusaha mengekalkan perpaduan, lapor Agensi Anadolu.

Dalam ucapan ringkas di hadapan wartawan, Biden mengucapkan terima kasih kepada Scholz atas perubahan bersejarah yang dilakukan oleh Jerman, sambil menyatakan bahawa terdapat peningkatan perbelanjaan pertahanan berikutan perang Rusia ke atas Ukraine.

Biden berkata: “pemimpin Jerman itu mempertingkat sokongan ketenteraan kritikal dan sokongan moral untuk Ukraine.” 

“Sebagai sekutu Nato, kami menjadikan pakatan itu lebih kuat dan lebih berkemampuan,” kata Biden.

Lawatan itu adalah kunjungan kedua Scholz sejak Biden memegang jawatan.

Scholz berkata adalah sangat penting untuk bertindak bersama-sama berhubung perang Rusia yang kini memasuki tahun kedua dan Jerman boleh memberikan sokongan yang diperlukan kepada Ukraine.

“Pada masa ini, saya fikir adalah sangat penting untuk kita terus berbuat demikian selagi ia perlu…,” katanya.

Terdahulu pada Jumaat, Washington mengumumkan pakej bantuan ketenteraan baharu untuk Ukraine bernilai AS$400 juta, yang sebahagian besarnya terdiri daripada peluru untuk sistem senjata yang dibekalkan sebelum ini. – Bernama, 4 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen