SEKURANG-KURANGNYA 17 orang maut dan berpuluh yang lain cedera dalam kebakaran besar yang berlaku di depoh simpanan minyak diuruskan syarikat negara di Jakarta, Indonesia.
Api memusnahkan beberapa buah rumah dan memaksa pemindahan penduduk di kawasan sekitar depoh diuruskan Pertamina di utara Jakarta, kata pegawai.
Jabatan kebakaran dan penyelamat Jakarta berkata 17 orang maut dalam kebakaran berlaku pada Jumaat itu dan mencederakan 50 orang yang lain.
Kebanyakan mangsa terbunuh dan cedera melecur teruk selepas kebakaran tercetus, kata Ketua Bomba Satriadi Gunawan kepada AFP.
Kebakaran berjaya dipadamkan beberapa jam selepas ia bermula, kata Ketua Kakitangan Tentera Dudung Abdurachman kepada wartawan.
“Api sudah berjaya dipadamkan,” katanya.
Gunawan berkata anggota bomba sedang berusaha untuk “menyejukkan” kawasan kebakaran selepas berjaya mengawalnya.
Punca kebakaran yang bermula selepas jam 8 malam waktu tempatan masih belum dikenalpasti.
Abdurachman dan Pertamina berkata mereka masih menyiasat punca kebakaran.
“Petramina sedang menumpukan usaha kepada mengawal kebakaran dan memindahkan pekerja dan penduduk berhampiran ke lokasi lebih selamat,” kata syarikat dalam satu kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif Petramina Nicke Widyawati berkata ia akan “menjalankan penilaian penuh dalaman bagi menghalang kejadian sama berulang.”
Bekalan minyak dalam negara tidak terjejas dan mereka sudah mendapatkan bekalan sokongan daripada terminal berhampiran, katanya lagi.
Balai bomba utama Jakarta menggerakan 15 unit dan lebih 250 anggota bomba ke lokasi kebakaran.
Kebakaran juga berlaku di depoh sama pada 2009, memusnahkan 14 buah rumah dalam kebakaran pada 2014 tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Pada 2021, kebakaran berlaku di loji penyulingan Balongan di Jawa Barat, salah sebuah loji terbesar negara itu yang juga dimiliki Petramina.
Kebakaran berterusan selama dua hari dan memaksa ribuan penduduk dipindahkan selepas berlaku letupan besar. – AFP, 4 Mac, 2023.
Komen