WHO gesa semua negara kongsi maklumat asal-usul Covid-19


Jangkitan pertama Covid-19 direkodkan pada hujung 2019 di Wuhan, China yang turut menempatkan sebuah makmal penyelidikan virus. – Gambar EPA, 4 Mac, 2023.

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) semalam menggesa semua negara mendedahkan maklumat yang diketahui mengenai asal-usul Covid-19.

Ia susulan tindakan Amerika Syarikat (AS) mendakwa ia berpunca daripada makmal China, yang mengundang kemarahan dan penafian daripada Beijing.

Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata semua negara perlu mendedahkan maklumat berkenaan jika ada kerana ia amat penting kepada komuniti saintifik antarabangsa.

Ia bukan untuk menuding kesalahan tetapi bagi memperluas kefahaman kita mengenai bagaimana pandemik ini bermula supaya kita boleh mencegah, bersedia dan bertindak balas jika berlaku pandemik dan epidemik pada masa depan.

“WHO tidak pernah meninggalkan sebarang usaha untuk mengenal pasti asal usul pandemik Covid-19,” katanya kepada pemberita.

Selasa lalu, Pengarah Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Christopher Wray memberitahu Fox News penilaian agensi itu mengenai sumber pandemik Covid-19 adalah ia berkemungkinan besar akibat insiden makmal di Wuhan.

Jangkitan pertama Covid-19 direkodkan pada hujung 2019 di Wuhan, China yang turut menempatkan sebuah makmal penyelidikan virus.

Pihak berkuasa China menafikan dakwaan FBI itu dan menyifatkannya sebagai kempen memburukkan Beijing.

Pada 2021, WHO menubuhkan Kumpulan Penasihat Saintifik Patogen Baharu untuk menyiasat asal usul pandemik itu.

Mengulas lanjut, Tedros berkata WHO masih berterusan menggesa China lebih telus dalam perkongsian data dan menjalankan siasatan yang diperlukan serta berkongsi hasilnya. – AFP, 4 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen