BADAN kehakiman Iraq mengeluarkan waran tangkap pada Sabtu ke atas empat bekas pegawai kanan yang dituduh menjadi perantara rompakan AS$2.5 bilion dana awam dalam salah satu skandal korupsi terbesar negara itu.
Hakim penyiasat di Baghdad telah “mengeluarkan waran tangkap ke atas empat pegawai kanan kerajaan terdahulu,” kata agensi anti rasuah negara itu dalam satu kenyataan.
Empat lelaki itu termasuk bekas menteri kewangan dan saudara bekas perdana menteri Mustafa al-Kadhemi, semuanya sekarang menetap di luar negara, menurut pegawai badan kehakiman yang bercakap atas dasar kerahsiaan.
Waran itu tidak menamakan pegawai tersebut, tetapi menurut sumber, mereka adalah bekas menteri kewangan Ali Allawi, pengarah Kabinet Raed Jouhi, setiausaha peribadi Ahmed Najati, dan penasihat Mushrik Abbas.
Allawi, politikus dan ahli akademik dihormati ramai, meletak jawatan pada Ogos tahun lepas selepas skandal itu terbongkar.
Kes itu yang disifatkan sebagai “rompakan bersejarah dalam kurun ini” mencetuskan kemarahan di Iraq, negara kaya minyak yang disifatkan pengkritik dibelenggu gejala korupsi.
Sekurang-kurangnya AS$2.5 bilion dicuri antara September 2021 dan Ogos 2022 menerusi 247 cek yang ditunaikan oleh lima syarikat. Wang itu kemudiannya dikeluarkan secara tunai daripada akaun syarikat tersebut, kebanyakan pemilik syarikat itu sedang diburu.
Keempat-empat lelaki itu dituduh “menjadi perantara penyonglapan dana milik pihak berkuasa percukaian,” kata kenyataan, menambah yang aset mereka juga akan dibekukan.
Perdana Menteri Minister Mohammed Shia al-Sudani berikrar untuk memerangi korupsi sejak dilantik pada Oktober lepas. – AFP, 4 Mac, 2023.
Komen