Peguam negara AS buat lawatan mengejut ke Ukraine


Peguam Negara AS Merrick Garland mengadakan lawatan mengejut ke Ukraine, lawatan kedua dibuatnya sejak Rusia menceroboh negara itu. – Gambar EPA, 4 Mac, 2023.

PEGUAM Negara AS Merrick Garland mengadakan lawatan mengejut ke Ukraine pada Jumaat bagi menghadiri persidangan tentang keadilan dan jenayah perang, kata pegawai Jabatan Keadilan.

Garland melawat Lviv di barat Ukraine atas jemputan rakan sejawatnya dari Ukraine, hadir di “Persidangan untuk Keadilan Bersama,” kata pegawai.

“Peguam negara mengadakan beberapa mesyuarat dan mengesahkan kembali komitmen kami untuk mempertanggungjawabkan Rusia ke atas jenayah dilakukan dalam pencerobohan tidak adil tanpa provokosi ke atas kedaulatan negara jirannya,” kata pegawai.

Lawatan itu adalah yang kedua buat Garland ke Ukraine sejak konflik bermula pada Februari 2022, tidak diumumkan lebih awal kerana isu keselamatan.

Ia berlaku hampir dua minggu selepas Presiden AS Joe Biden melawat Ukraine dan bertemu Presiden Volodymyr Zelensky.

Amerika Syarikat sedang membantu Ukraine menyiasat jenayah perang dan Garland minggu ini menggelarkan Yevgeny Prigozhin, ketua pasukan tentera upahan Rusia, Wagner, sebagai penjenayah perang.

Dalam kenyataan dikeluarkan pada 24 Februari bagi menandakan ulang tahun pencerobohan Rusia, Garland berkata agensinya “menyokong rakan Ukraine dalam usaha menegakkan keadilan.”

Katanya, pendakwaraya Amerika “sedang bekerjasama rapat yang tidak pernah berlaku sebelum ini dengan rakan sejawat mereka di Ukraine bagi menyiasat jenayah khusus dilakukan tentera Rusia termasuk serangan ke atas orang awam.”

Naib Presiden AS Kamala Harris bulan lepas menuduh Rusia melakukan “jenayah terhadap kemanusiaan” di Ukraine, berkata tentera Moscow melakukan serangan “meluas dan sistematik” ke atas penduduk awam negara itu. – AFP, 4 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen