Kemusnahan di Syria akibat gempa dianggar bernilai AS$5.1 bilion


Gempa bumi yang melanda pada 6 Februari lalu di Turkiye dan Syria memusnahkan bandar dan membunuh lebih 50,000 orang di kedua-dua negara. – Gambar EPA, 4 Mac, 2023.

GEMPA bumi dan gempa susulan yang berlaku pada Februari menyebabkan kemusnahan dianggarkan bernilai AS$5.1 bilion dalam bentuk kemusnahan fizikal di Syria, kata Bank Dunia pada Jumaat.

Gempa bumi yang melanda pada 6 Februari lalu di Turkiye dan Syria memusnahkan bandar dan membunuh lebih 50,000 orang di kedua-dua negara.

Jutaan lagi penduduk kehilangan tempat tinggal dan memerlukan rawatan perubatan segera.

“Nilai semasa kerosakan dan kemusnahan saham modal dianggarkan sekitar 10% daripada KDNK,” kata anggaran terbaru Bank Dunia.

“Kemusnahan meluas menjejaskan empat wilayah pentadbiran, tempat tinggal sekitar 10 juta penduduk Syria,” kata laporan.

Data terkini itu tidak meliputi kerugian dan kesan kepada ekonomi kepada Syria seperti pengeluaran dan gangguan perniagaan.

Wilayah paling teruk terjejas adalah Aleppo dengan 45% daripada keseluruhan anggaran kerugian, ia diikuti oleh Idlib dan Lattakia.

Gempa susulan pada 20 Februari menyebabkan kemusnahan tambahan dan gegaran berterusan dijangka menambah anggaran kemusnahan, kata Bank Dunia lagi.

Kemusnahan bangunan kediaman menyumbang kepada hampir separuh jumlah keseluruhan dengan kerosakan infrastruktur sebanyak 18%.

“Kerugian ini adalah tambahan kepada kemusnahan, penderitaan dan kesusahan yang ditempuh rakyat Syria bertahun-tahun sebelum ini,” kata Jean-Christophe Carret, pengarah Jabatan Timur Tengah Bank Dunia.

“Kemusnahan akan menyebabkan kemerosotan aktiviti ekonomi akan memberi lebih tekanan kepada prospek pertumbuhan Syria,” tambahnya.

Dalam penilaian berasingan bulan lepas, bank menjangkakan gempa bumi menyebabkan hampir AS$34.2 bilion dalam kerosakan fizikal di Turkiye. – AFP, 4 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen