PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata pimpinan tentera Myanmar kini menganggap orang awam sebagai musuh dan memulakan perang terhadap rakyat negara itu.
Ketua Hak Asasi Manusia PBB Volker Turk berkata situasi di Myanmar semakin teruk, dua tahun selepas kerajaan Aung San Suu Kyi digulingkan melalui kudeta pada 1 Februari, 2021.
Dalam satu laporan yang meneliti situasi di Myanmar dalam tempoh dua tahun selepas kudeta, Pejabat Hak Asasi Manusia PBB merekodkan sekurang-kurangnya 2,940 individu terbunuh, dengan 30% daripadanya mati dalam tahanan.
Namun, angka kematian sebenar dipercayai jauh lebih tinggi.
Ketua Pejabat Hak Asasi Manusia PBB di Myanmar James Rodehaver berkata pasukan tentera kini secara aktif bertempur di 13 medan tempur berbeza.
“Pasukan tentera semakin terdesak,” katanya dalam satu taklimat di Geneva, memaklumkan tentera Myanmar kini bergantung pada kekuatan udara dan artileri untuk melancarkan pergerakan tentera di darat, dengan lebih 300 serangan udara direkodkan tahun lalu.
Laporan PBB turut merekodkan serangan udara di sekolah dan hospital, selain hampir 80% daripada 330 kawasan bandar di Myanmar terkesan dengan pertempuran itu.
Rodehaver mendakwa belum pernah berlaku pada mana-mana waktu dan situasi di mana krisis di Myanmar mencapai ke tahap itu dan merebak seluas itu di seluruh negara berkenaan.
“Sebelum ini, konflik di Myanmar lebih tertumpu di negeri etnik. Sekarang, ia merebak sehingga ke kawasan tengah Bamar,” katanya.
Laporan itu turut merekodkan hampir 39,000 kediaman di Myanmar terbakar atau musnah dalam operasi ketenteraan sejak Februari tahun lalu, iaitu peningkatan lebih 1,000 kali ganda berbanding pada 2021. – AFP, 4 Mac, 2023.
Komen