KETUA pembangkang Kemboja Kem Sokha dijatuhi hukuman penjara 27 tahun semalam atas kesalahan pengkhianatan.
Sabitan itu menyebabkan beliau hilang kelayakan untuk menyertai pilihan raya tahun ini, dan tindakan itu dikecam pemerhati antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan Amerika Syarikat.
Kem Sokha, 69, didakwa melakukan rancangan rahsia dengan entiti luar negara untuk menggulingkan kerajaan Perdana Menteri Hun Sen, dan ditahan pada 2017.
Beliau adalah pengasas bersama Parti Penyelamat Kebangsaan Kemboja (CNRP) yang kini sudah dibubarkan, dan sekian lama menjadi lawan kepada Hun Sen.
Kem Sokha berkali-kali menafikan dakwaan terhadapnya itu, di mana kumpulan hak asasi berkata tuduhan terhadapnya bertujuan menghalangnya daripada politik menjelang pilihan raya Julai ini.
Serta merta selepas keputusan dibacakan di mahkamah di Phnom Penh, beliau dikenakan tahanan rumah dan dilarang bertemu warga asing atau sesiapa yang bukan ahli keluarganya tanpa kebenaran mahkamah.
Anak perempuannya, Kem Monovithya berkata rumah Kem Sokha kini dalam pemerhatian polis.
Jurucakap Jabatan Dalam Negeri AS Ned Price dalam satu kenyataan berkata tindakan Kemboja mendiamkan Kem Sokha selama bertahun-tahun adalah tidak adil dan menjejaskan imej Kemboja di mata masyarakat antarabangsa. – AFP, 4 Mac, 2023.
Komen