SEMUA pihak mahukan perdamaian di selatan Thailand dan aura perdamaian boleh dirasai di mana-mana.
Ia kesimpulan yang dibuat ketua fasilitator kerajaan Malaysia bagi proses dialog damai Zulkifli Zainal Abidin selepas lawatan kerja selama empat hari ke selatan Thailand.
Zulkifli berkata lawatan kerjanya kali ini membawa mandat besar daripada Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk mendengar, membina pemahaman, menawarkan pandangan dan memudahcara dalam apa juga medium perundingan, bagi memacu usaha mencapai konsensus di antara semua pihak.
“Secara keseluruhannya, program lawatan kerja saya berjaya. Apa yang boleh saya simpulkan, semua pihak mahukan perdamaian. Aura perdamaian dapat saya rasai di mana-mana.
“Semoga lawatan kerja saya ini selaku ketua fasilitator akan mewujudkan kerjasama erat untuk menjayakan rundingan damai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebanyak 33 program diadakan sepanjang lawatan ke tiga wilayah di selatan Thailand - Pattani, Yala dan Narathiwat yang berakhir hari ini.
Zulkifli mengadakan pertemuan dengan pelbagai pihak termasuk pihak akademik, badan bukan kerajaan dan pertubuhan masyarakat madani, majlis agama dan wakil penganut agama Buddha.
“Saya mendengar, memahami dan membina keyakinan bahawa suara mereka akan didengar dan dibawa ke meja rundingan,” katanya sambil menambah ia satu platform di mana semua pihak boleh terbabit dalam proses dialog damai selatan Thailand.
Sepanjang lawatan kerja kali ini, Zulkifli berkata beliau menyampaikan satu mesej “kedamaian adalah milik semua”.
“Malaysia sentiasa komited dalam memudahcara kerajaan Thailand dan komuniti Patani untuk menyelesaikan konflik dengan adil, komprehensif dan berkekalan,” katanya. – Bernama, 3 Mac, 2023.
Komen