Bekas presiden MCA ke-4 Lee San Choon meninggal dunia


Mendiang Lee San Choon meninggal dunia pada usia 88 tahun. – Gambar Twitter Wee Ka Siong, 3 Mac, 2023.

BEKAS presiden MCA Lee San Choon meninggal dunia pagi ini pada usia 88 tahun.

Bekas ahli Parlimen Seremban itu merupakan presiden MCA keempat yang berkhidmat pada tahun 1975 hingga 1983.

Mengesahkan perkara itu, Presiden MCA Wee Ka Siong berkata mendiang merupakan sumber inspirasi dan motivasi ahli parti.

“Semangat juangnya sentiasa menjadi sumber inspirasi dan motivasi kepada ramai pemimpin kami hari ini termasuk diri saya. Secara peribadi saya dapat inspirasi daripada kemahiran kepimpinannya yang kuat dan semangat untuk melindungi semua kaum serta membina negara.

“Takziah diucapkan kepada semua ahli keluarga mendiang. Tan Sri, anda akan dirindui dan diingatI sampai bila-bila,” katanya melalui ciapan di Twitter, hari in.

Beliau turut berkongsi beberapa keping gambar mendiang ketika aktif suatu ketika dulu.

San Choon dilahirkan di Pekan, Pahang dan merupakan ahli Parlimen termuda daripada MCA yang dipilih bagi Parlimen Kluang Utara di Johor pada 1959.

Mendiang mengetuai MCA untuk tiga pilihan raya umum selain memegang pelbagai jawatan Kabinet dari tahun 1969 hingga 1983 seperti menteri buruh dan tenaga kerja, menteri kerja raya dan kemudahan awam serta menteri pengangkutan. – 3 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen