Hantar 'lethal weapons' ke Ukraine, Korea Selatan belum buat keputusan


Han Duck Soo memberitahu keputusan itu belum diputuskan setakat ini. – Gambar EPA, 3 Mac, 2023.

KOREA Selatan masih belum memutuskan untuk menghantar bekalan senjata yang boleh membawa maut atau ‘lethal weapons’ ke Ukraine.

Dalam temu bual dengan ‘Quest Means Business’ CNN Perdana Menterinya Han Duck Soo berkata Korea Selatan memutuskan untuk menambah bantuan kewangan untuk Ukraine pada tahun ini untuk menyokong Kyiv dari segi kemudahan penjanaan elektrik.

Bagaimanapun ketika menyentuh soal ‘lethal weapons’ beliau berkata, “bukan sekarang. Saya rasa. Kami belum membuat keputusan mengenai isu itu,” katanya lapor Agensi Berita Yonhap.

Mengenai ujian peluru berpandu oleh Korea Utara beliau berkata Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) akan meningkatkan latihan ketenteraan bersama.

Beliau berkata sejak kerajaan Presiden Yoon Suk Yeol berkuasa pada tahun lepas Korea Selatan memberi banyak penekanan kepada pembinaan keupayaan pencegahan tetapi bukan bermakna negara ini menutup pintu dialog.

Beliau juga menjelaskan Korea Selatan tidak akan mempertimbangkan untuk memperoleh senjata nuklear sendiri dalam menghadapi peningkatan ancaman Korea Utara ataupun menggunakan semula keupayaan nuklear AS.

“Saya tidak fikir itu adalah tindakan yang betul. Kita harus bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa termasuk sekutu rapat kita AS.

“...kami ingin memberitahu Korea Utara membangunkan dan memajukan keupayaan nuklear tidak akan menjamin keamanan serta kemakmuran di negara mereka dan juga di Semenanjung Korea dan di peringkat global,” katanya. – Bernama, 3 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen