Setiausaha negara AS adakan pertemuan dengan menteri luar Russia


Setiausaha Negara AS Antony Blinken mengadakan pertemuan ringkas dengan rakan sejawatannya dari Russia Sergey Lavrov di New Delhi. – Gambar EPA, 3 Mac, 2023.

SETIAUSAHA Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken mengadakan pertemuan ringkas dengan rakan sejawatannya dari Rusia Sergey Lavrov, pertemuan pertama kedua-dua pemimpin itu sejak pencerobohan Russia ke atas Ukraine.

Kedua-dua pemimpin itu kini berada di New Delhi bagi menyertai mesyuarat menteri luar G20.

Pada sidang media selepas mesyuarat menteri-menteri luar itu, Blinken berkata dalam pertemuan dengan Lavrov, beliau mengulangi kenyataannya bahawa setiap negara sedang menderita akibat konflik Russia-Ukraine dan meminta konflik itu ditamatkan.

Blinken turut menggesa Lavrov untuk kembali mengadakan perbincangan mengenai perjanjian New START dan mencari jalan perdamaian.

Presiden Russia Vladimir Putin pada minggu lalu menangguhkan perjanjian senjata nuklear dengan AS.

“Setiap negara terkesan dengan perang Russia di Ukraine. Kita perlu mendapatkan makanan untuk mereka yang kelaparan dan membantu negara mempunyai bekalan yang cukup dari segi hasil pertanian.

“Saya memberitahu menteri luar, tidak kira apa yang berlaku di dunia atau dalam hubungan kita, AS akan sentiasa bersedia untuk terlibat dan bertindak ke atas kawalan senjata strategik, sama seperti AS dan Kesatuan Soviet lakukan walaupun pada kemuncak Perang Dingin,” katanya.

Blinken turut memberi amaran kepada China memberikan bantuan ketenteraan kepada Russia atau membantu negara itu mengelak daripada sekatan akan menyumbang “masalah serius” kepada hubungan AS-China.

Ketika ditanya mengenai isu kemunduran demokrasi dan hak asasi manusia di India, Blinken berkata India dan AS adalah dua negara demokrasi terbesar di dunia.

“Kami perlu berpegang kepada nilai teras termasuk menghormati hak asasi manusia seperti kebebasan bersuara, kebebasan beragama dan kebebasan berhimpun. Kami sering terlibat dengan rakan sejawatan kami dari India dalam isu itu, seperti yang saya lakukan hari ini,” katanya. – Bernama, 3 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen