Najib, Arul Kanda bebas tuduhan pinda laporan audit 1MDB


Kalidevi Mogan Kumarappa

Arul Kanda kelihatan di luar kompleks mahkamah untuk mendengar keputusan kes pendakwaan terhadapnya hari ini. Beliau dan bekas perdana menteri Najib Razak dibebaskan daripada tuduhan pinda laporan audit 1MDB. – Gambar Najjua Zulkefli, 3 Mac, 2023.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan bekas perdana menteri Najib Razak dan bekas CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy daripada pertuduhan mengubah laporan akhir audit firma itu.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie bagi pertuduhan itu.

Mahkamah turut memutuskan bahawa Arul Kanda layak mendapat sijil indemniti yang menghalangnya daripada dikenakan sebarang tindakan undang-undang.

Bekas perdana menteri itu didakwa pada 12 Disember 2018, menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap Laporan Pengauditan Akhir 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Kesalahan didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya antara 22 Februari dan 26 Februari 2016.

Pihak pendakwaan menutup kes itu pada 7 September selepas memanggil 16 saksi termasuk bekas ketua setiausaha negara Ali Hamsa, bekas ketua audit negara Ambrin Buang dan Dr Madinah Mohamad, bekas pengerusi 1MDB Mohd Bakke Salleh dan bekas pengarah Jabatan Audit Negara Saadatul Nafisah Bashir Ahmad.

Arul Kanda, 45 pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan berkenaan bagi melindunginya daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 23(1) dan 24(1) Akta SPRM yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Najib, 70 sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun atas sabitan kesalahan menyalahgunakan dana SRC International Sdn Bhd. – 3 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen