China kekal destinasi tumpuan pelaburan asing


China mempunyai pasaran berskala besar serta rangkaian rantaian perindustrian dan bekalan yang lengkap. – Gambar AFP, 2 Mac 2023.

CHINA terus komited untuk memperluas keterbukaan bertaraf tinggi dan berkongsi peluang pembangunan dengan dunia, kata jurucakap Kementerian Luar Mao Ning.

Baru-baru ini, Dewan Perniagaan Amerika di Selatan China (AmCham South China) mengeluarkan Kertas Putih mengenai Persekitaran Perniagaan China Tahun 2023.

Hasil kaji selidik berkenaan menunjukkan, lebih 90% responden terdiri daripada syarikat-syarikat utama mendapati China sebagai antara destinasi pelaburan paling penting, dan 75% daripadanya turut merancang untuk menambah pelaburan di negara itu tahun ini.

Sehubungan dengan itu, Mao berkata China terbukti kekal menjadi destinasi pilihan dan tumpuan untuk pelaburan asing.

“Ini disebabkan China mempunyai pasaran berskala besar serta rangkaian rantaian perindustrian dan bekalan yang lengkap.

“Ia juga adalah berkat usaha konsisten China untuk mendorong keterbukaan bertaraf tinggi, menyokong sistem perdagangan pelbagai hala serta mengoptimumkan iklim perniagaan yang berorientasikan pasaran, berlandaskan undang-undang dan bersifat antarabangsa,” kata beliau.

Menurut Mao, pada Januari tahun ini China mencatatkan permulaan yang baik dalam penyerapan modal asing, menyaksikan penggunaan sebenar modal asing mencapai RMB127.69 bilion (RM82.91 bilion), meningkat sebanyak 14.5% dari tahun ke tahun.

“Syarikat asing termasuk syarikat dari Amerika Syarikat (AS) dilihat optimis terhadap pasaran China dan merancang untuk mengembangkan perniagaan masing-masing di China,” katanya.

Data Jabatan Perdagangan AS menunjukkan jumlah perdagangan barangan antara negara itu dengan China mencecah AS$690.6 bilion (RM3.09 trilion) pada 2022, mencipta rekod tertinggi dalam sejarah.

“Walau apa jua perubahan dalam situasi antarabangsa, keazaman China untuk memperluas keterbukaan bertaraf tinggi dan berkongsi peluang pembangunan dengan dunia tidak akan berubah.

“Kami mengalu-alukan syarikat dari seluruh dunia menembusi pasaran China, berkongsi faedah pembangunan dan bersama-sama menggalakkan pertumbuhan ekonomi dunia,” tambah Mao. – Bernama, 2 Mac 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen