Pejuang, Berjasa mohon sertai Perikatan, kata Takiyuddin


Ahli Majlis Tertinggi Perikatan Nasional Takiyuddin Hassan berkata Pengerusi PN Muhyiddin Yassin akan membawa permohonan Pejuang dan Berjasa dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Mac, 2023.

PERIKATAN Nasional (PN) akan membuat keputusan dalam masa terdekat berhubung permohonan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) untuk menyertai gabungan mereka, kata Ahli Majlis Tertinggi PN, Takiyuddin Hassan.

Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS berkata Pengerusi PN Muhyiddin Yassin akan membawa permohonan berkenaan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu nanti yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.

“Sebenarnya ada dua permohonan ingin sertai PN iaitu Pejuang dan Berjasa namun tarikh mesyuarat masih belum diketahui bagi memutuskan keputusan mana-mana parti yang memohon menyertai PN,” katanya kepada pemberita selepas Program Prihatin Kota Bharu Cakna Kota Lama di Kota Bharu hari ini.

Terdahulu Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir menghantar surat permohonan untuk menyertai PN kepada Muhyiddin semalam dan turut diberikan kepada Presiden PAS Hadi Awang dan Presiden Gerakan Dominic Lau.

Menurutnya keputusan untuk membuat permohonan berkenaan disepakatkan Majlis Eksekutif Pusat (MEP) Pejuang kelmarin selepas penelitian semua opsyen gabungan dan kerjasama politik yang ada. – Bernama, 2 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen