Lelaki Kanada didakwa 96 kes serangan seksual


SEORANG lelaki dari Toronto berdepan 96 pertuduhan berkaitan serangan seksual dan keganasan terhadap kanak-kanak bawah umur di mana beliau mencari mangsa menggunakan platform media sosial, kata polis Kanada.

Polis percaya mangsa sebenar lebih ramai berbanding pertuduhan.

Daniel Langdon, 31, sebelum ini didakwa 39 pertuduhan, turut disyaki membuat dan memiliki bahan pornografi kanak-kanak, kata polis Toronto.

Ada ramai mangsa berusia antara tujuh hingga 17 tahun dan jenayah dipercayai berlaku antara April 2021 dan Februari tahun ini, kata penyiasat Vijay Shetty kepada media.

Mangsa yang tinggal di beberapa kawasan berbeza di Ontario, iaitu wilayah Kanada paling ramai populasi, dipercayai menjadi sasaran menerusi aplikasi seperti Snapchat, Instagram, TikTok dan Twitter.

Langdon, yang disifatkan sebagai sangat aktif di media sosial menggunakan beberapa nama dan emel di platform media sosial, malah turut mengubah suai gambarnya untuk kelihatan muda.

Dalam serbuan di rumah Langdon, polis menemui bahan pornografi kanak-kanak dan bukti menunjukkan Landon melakukan serangan seksual terhadap seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun di taman Toronto.

Suspek sebelum ini didakwa memiliki bahan pornografi kanak-kanak pada 2016 dan dilarang pergi ke taman awam atau berhubung dengan individu bawah usia 16 tahun.

Langdon ditahan pada 7 Februari. – AFP, 2 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen