Tentera Israel bunuh rakyat Palestin di Tebing Barat


Ahad lalu, bandar Huwara di Palestin diserang penceroboh Israel, dengan rumah dan kenderaan dibakar oleh penceroboh. – Gambar AFP, 2 Mac, 2023.

TENTERA Israel membunuh seorang rakyat Palestin dalam satu serbuan di kawasan diduduki di Tebing Barat susulan insiden tembakan hingga mati seorang warga Israel-Amerika awal minggu ini, kata kementerian kesihatan Palestin.

Tentera Israel berkata pihaknya menembak dua individu yang cuba melarikan diri selepas mereka masuk ke kem pelarian Aqabat Jabr berhampiran Jericho untuk menahan suspek dalam insiden tembakan itu di kawasan sama.

Mahmoud Jamal Hassan Hamdan, 22, meninggal dunia akibat kecederaan teruk ketika serbuan itu, kata kenyataan Palestin.

Jamal meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital Hadassa di Jerusalem, kata jurucakap.

Tentera Israel di Aqabat Jabr menahan empat suspek termasuk seorang yang disyaki bertanggungjawab atas serangan yang menyebabkan kematian warga Israel-Amerika Elan Ganeles, 27, kata tentera.

Gabenor Jericho Jihad Abu al-Assad berkata Jamal mengalami kecederaan serius.

Ia insiden terbaru dalam keganasan yang semakin teruk dalam konflik Israel-Palestin, terutama di Tebing Barat di mana Israel menceroboh dan menduduki kawasan bukan miliknya sejak Perang Enam Hari 1967.

Ahad lalu, bandar Huwara di Palestin diserang penceroboh Israel, bebeberapa jam selepas dua penceroboh – adik beradik Yagel Yaniv, 20, dan Hallel Yaniv, 22, ditembak mati ketika memandu di utara bandar Tebing Barat.

Berpuluh-puluh penceroboh Israel membakar rumah dan kereta rakyat Palestin di Huwara sepanjang malam.

Sejak awal tahun ini, konflik Israel-Palestin mengorbankan 64 nyawa rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak, orang awam dan tentera.

Seramai 13 dewasa Israel termasuk pasukan tentera dan orang awam terbunuh dalam tempoh sama, menurut data. – AFP, 2 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen