Belgium gesa Iran bebaskan pekerja bantuan


PERDANA Menteri Belgium Alexander De Croo pada Rabu menggesa presiden Iran membebaskan seorang pekerja bantuan yang ditahan oleh Tehran dalam kes yang dikecam sebagai diplomasi tebusan.

Iran menahan Olivier Vandecasteele, 42, pada Februari 2022 dan menjatuhkan hukuman penjara lebih 12 tahun pada awal tahun ini kerana “pengintipan” serta mengarahkannya dikenakan 74 sebatan.

“Mesej saya sangat jelas: Olivier Vandecasteele adalah seorang yang tidak bersalah dan mesti dibebaskan segera,” tulis De Croo di Twitter selepas panggilan telefon dengan Ebrahim Raisi dari Iran.

“Sementara itu, keadaan penjaranya yang tidak berperikemanusiaan mesti berubah.”

Pakar hak PBB menyelar penahanan Vandecasteele sebagai “pelanggaran jelas” undang-undang antarabangsa.

Penyokong dan kumpulan hak asasinya berkata penahanan itu sebagai sebahagian daripada “diplomasi tebusan” Iran agar Belgium membebaskan seorang diplomat Iran yang dipenjarakan kerana keganasan.

Diplomat itu, Assadollah Assadi, didapati bersalah pada 2021 kerana mendalangi komplot mengebom acara yang dianjurkan oleh kumpulan pembangkang Iran dalam buangan di luar Paris pada 2018.

Rancangan itu digagalkan oleh perkhidmatan perisikan Eropah, dan Assadi, seorang diplomat yang ditempatkan di Austria dikenal pasti menyediakan bahan letupan, dijatuhi hukuman penjara 20 tahun.

Pada Julai tahun lalu, Belgium dan Iran menandatangani perjanjian pertukaran tahanan yang dilihat Brussels sebagai jalan untuk membebaskan Vandecasteele.

Tetapi Mahkamah Perlembagaan Belgium menggantung perjanjian itu selepas ahli pembangkang Iran dalam buangan mencabarnya atas alasan ia akan membawa kepada pembebasan Assadi.

Mahkamah ditetapkan untuk memutuskan kesahihan perjanjian itu menjelang 8 Mac. – AFP, 2 Mac 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen