Bekas PM Itali disiasat didakwa gagal kawal awal penularan Covid-19


Pendakwa raya menyiasat bekas perdana menteri Itali Giuseppe Conte berhubung tindak balas kerajaan di bawah pentadbirannya terhadap wabak Covid-19. – Gambar EPA, 2 Mac 2023.

BEKAS perdana menteri Itali Giuseppe Conte disiasat berhubung tindak balas kerajaan terhadap wabak Covid-19 pada awal 2020, kata laporan media pada Rabu.

Pendakwa raya di Bergamo, bandar utara yang merupakan salah satu pusat wabak koronavirus di Eropah, menyasarkan Conte selepas selesai siasatan selama tiga tahun, menurut laporan itu.

Conte, kini presiden pergerakan populis Five Star, adalah perdana menteri dari 2018 hingga 2021 dan menyelia langkah awal diambil untuk menghentikan penyebaran yang kemudiannya menjadi pandemik global.

Majistret penyiasat mengesyaki Conte dan kerajaannya memandang rendah penularan Covid-19 walaupun data yang ada menunjukkan kes merebak dengan cepat di Bergamo dan wilayah sekitarnya.

Mereka berkata pada awal Mac 2020 kerajaan tidak mewujudkan “zon merah” di dua kawasan paling teruk dilanda wabak itu, Nembro dan Alzano Lombardo, walaupun pasukan keselamatan bersedia untuk mengasingkan zon itu dari seluruh negara.

Zon merah ditetapkan pada akhir Februari untuk kira-kira sedozen majlis perbandaran lain yang berdekatan termasuk Codogno, bandar di mana kes awal Covid-19 dilaporkan ditemui.

Menteri kesihatan Conte, Roberto Speranza serta presiden wilayah Lombardy, Attilio Fontana, juga sedang disiasat, kata laporan itu.

Pendakwa raya Bergamo mendakwa menurut pakar saintifik, kuarantin lebih awal boleh menyelamatkan beribu-ribu nyawa.

Conte, yang dipetik oleh Il Corriere della Sera dan media lain, berkata beliau “tidak bimbang” dengan siasatan itu, berkata kerajaannya sudah bertindak “dengan komitmen dan tanggungjawab sepenuhnya semasa salah satu detik paling sukar di republik kita.”

Kes serupa dibuat terhadap pegawai di tempat lain, mendakwa pihak berkuasa gagal bertindak pantas terhadap virus yang membunuh kira-kira 6.8 juta orang di seluruh dunia sejak awal 2020.

Pada Januari, mahkamah tertinggi Perancis menolak kes terhadap bekas menteri kesihatan Agnes Buzyn, seorang doktor terlatih, berhubung dakwaan “membahayakan nyawa orang lain” apabila pada peringkat awal memperlekehkan tahap keterukan Covid-19. – AFP, 2 Mac 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen