BRITAIN menghalau keluar 23 diplomat Rusia susulan tindakan meracun bekas perisik menggunakan agen saraf, dan menggantung hubungan peringkat tertinggi termasuk Piala Dunia, sementara Amerika Syarikat (AS) turut serta membelasah Moscow di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) semalam.
Perdana Menteri Britain Theresa May memberitahu Parlimen bahawa Rusia gagal memberi respons terhadap desakannya untuk memberi penjelasan bagaimana bahan kimia rekaan Soviet, Novichok digunakan di Salisbury, sebuah bandar di negara itu pada 4 Mac.
Pada mesyuarat tergempar di Majlis Keselamatan PBB di New York, AS menyebelahi Britain, menolak dakwaan Rusia bahawa ia tidak terbabit dalam serangan terhadap Sergei Skripal dan anak perempuannya.
“AS percaya Rusia bertanggungjawab atas serangan terhadap dua individu di United Kingdom, menggunakan agen saraf gred tentera,” kata Duta AS Nikki Haley pada mesyuarat yang diadakan atas permintaan Britain itu.
White House turut mengeluarkan kenyataan bahawa AS bersolidariti dengan sekutu terapatnya itu.
Katanya, insiden itu padan dengan corak tingkah laku Rusia yang selalu mengabaikan peraturan antarabangsa, merendahkan kedaulatan dan keselamatan negara lain, dan cubaan menjatuhkan institusi demokratik Barat.
Sekutu NATO memberikan sokongan kepada Britain susulan penggunaan agen saraf itu yang kali pertama berlaku di Eropah sejak Perang Dunia kedua.
May berkata 23 diplomat Rusia itu dipercayai pegawai perisik diarah meninggalkan Britain dalam tempoh seminggu.
Britain juga menggantung semua hubungan peringkat tertinggi termasuk jemputan untuk Menteri Luar Sergei Lavrov membuat lawatan, tetapi May berkata beliau tidak mahu terus memutuskan hubungan secara keseluruhan.
May berkata tindakan mencetuskan permusuhan yang dipercayai dilakukan rakyat Rusia akan dipatahkan, selain membekukan aset mereka di Britain dan menahan mereka yang masuk menerusi sempadan.
Tiada keluarga diraja dan menteri Britain akan menghadiri Piala Dunia di Rusia tahun ini. – AFP, 15 Mac, 2018.
Komen