Bergambar tunjuk punggung, 3 pelancong Eropah diusir dari Machu Picchu


Machu Piccu dianggap tapak suci oleh masyarakat pribumi Peru dan tindakan pelancong itu menanggalkan seluar menunjukkan punggung mereka untuk bergambar dianggap menghina kawasan itu.

TIGA pelancong Eropah diusir keluar dari Machu Picchu di Peru selepas mengambil gambar mendedahkan punggung mereka, kata polis pada Rabu.

Pelancong itu- berusia 21 tahun dari Jerman, 24 tahun dari Switzerland dan 26 tahun dari Belanda- diusir keluar dari tapak bersejarah itu pada Selasa menurut pihak pihak berkuasa.

“Tiga pelancong membuka seluar mereka untuk menunjukkan punggung mereka dan mengambil gambar,” kata pegawai polis Martin Flores kepada AFP. “Ini tidak dibenarkan..selaras dengan peraturan dalaman tapak ini, tiga pelancong itu diusir tetapi tidak ditahan.”

Pihak berkuasa Peru menganggap membuka pakaian di Machu Picchu sebagai tindakan tidak biadap. Kota kurun ke-15 itu- tarikan utama dalam industri pelancongan Peru- terletak 74 kilometer dari Cusco, bekas ibu kota Empayar Incan, di Peru.

Dibina di atas kawasan pergunungan, ia berlatarbelakangkan kawasan hutan tebal.

Pada Jun 2014, Kementerian Kebudayaan Peru mengeluarkan arahan mengharamkan tindakan berbogel di kawasan itu selepas ramai pelancong berbogel untuk bergambar.

Penjajah Sepanyol tidak pernah mengetahui tentang kewujudan Machu Picchu, yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco sejak 1983. Ia ditemui pada 1911 oleh peneroka Amerika, Hiram Bingham. – AFP, 15 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen