Pemilihan Umno: Saarani, Tengku Zafrul menang tanpa bertanding, Khir Toyo buat ‘comeback’


Sejak tahun lalu, Khir Toyo sudah mewar-warkan untuk membuat kemunculan semula selepas 'bersara' daripada politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Mac, 2023.

MENTERI Besar Perak Saarani Mohamad mengesahkan mempertahan jawatan Ketua Umno Bahagian Lenggong selepas menang tanpa bertanding pada pemilihan parti itu.

Pengerusi Umno Perak itu berkata beliau dimaklumkan bahagian Lenggong hanya menyaksikan pertandingan di peringkat Wanita Umno dan timbalan pengerusi tetap.

“Di Lenggong yang saya dimaklumkan akan ada pertandingan di peringkat Wanita sahaja. Ketua wanita dan naib ketua wanita ada dua calon, selepas itu jawatankuasa ada ramailah.

“Pengerusi tetap bahagian tak bertanding dan timbalan pengerusi tetap bahagian ada dua calon,” katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian Geran Penerbitan Perak Sejahtera 2030 di Ipoh hari ini.

Saarani juga berkata Umno Perak akan menyokong calon dari negeri itu bagi jawatan Ahli Majlis Tertinggi (MT) parti.

Mereka ialah Ahli MT Umno Zambry Abdul Kadir dan Shamsul Anuar Nasarah, bekas Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun, Ketua Pemuda Umno Perak Mohd Ariff Abdul Majid dan Ketua Umno Bahagian Beruas Azhar Ahmad.

Di SELANGOR, bekas Menteri Besar Dr Mohamad Khir Toyo membuat kemunculan semula dengan mencabar penyandang Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Jamal Md Yunos bagi merebut jawatan itu, kata Bendahari Badan Perhubungan Umno Selangor Kamaruzzaman Johari.

Beliau berkata bekas exco kerajaan negeri Abdul Fatah Iskandar turut membuat kemunculan semula dengan menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian Kuala Langat menentang penyandangnya Zurihan Yusop.

Kamaruzzaman juga berkata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz menang tanpa bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian Kota Raja manakala Ketua Umno Bahagian Hulu Langat Johan Abd Aziz kekal menyandang jawatan itu susulan tiada pencabar.

“Umno Selangor menyaksikan pertandingan empat penjuru di dua kawasan iaitu Kuala Selangor dan Puchong, tiga penjuru di Hulu Selangor, Petaling Jaya dan Shah Alam manakala 15 bahagian berdepan saingan satu lawan satu bagi jawatan Ketua Umno bahagian,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata tujuh individu bertanding bagi jawatan Ahli MT Umno iaitu Tengku Zafrul, Jamal, Johan, Mat Nadzari Ahmad Dahlan (Ketua Umno Hulu Selangor), Rosni Sohar (Setiausaha Wanita Umno), Isham Jalil (Ketua Penerangan Umno) dan Zahida Zarikh Khan (Ketua Puteri Umno).

Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pemuda dan Puteri Umno bahagian bersama Pemilihan Exco Wanita, Pemuda dan Puteri Umno pusat bakal diadakan serentak seluruh negara pada 11 Mac ini.

Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Umno bahagian bersama pemilihan Ahli Majlis Tertinggi Umno pula diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac. – Bernama, 1 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen