Versace tidak akan lagi guna bulu haiwan dalam koleksinya


Koleksi musim luruh/sejuk Versace bagi 2017 termasuk kot bulu mink dan musang. – Gambar AFP, 15 Mac, 2018.

DONATELLA Versace berkata label fesyen mewah keluarganya itu tidak akan lagi menggunakan bulu asli dalam produk mereka, menurut satu temu bual dengan majalah Britain.

Ratu fesyen Itali dan pengarah kreatif Versace itu memberitahu majalah The Economist bahawa mereka akan menghentikan amalan itu, tanpa memberikan maklumat lanjut terhadap perubahan itu.

“Bulu haiwan? Saya tidak mahu lagi. Saya tidak mahu membunuh haiwan untuk fesyen.

“Tidak betul rasanya.”

Ibu pejabat Versace di Milan, Itali tidak memberikan respons mereka lagi setakat ini.

Majalah itu berkata ketika artikel itu ditulis dan disiarkan secara online pada Rabu, laman web Versace masih menjual baju bulu haiwan.

Versace sebelum ini enggan menyertai rumah fesyen lain termasuk Armani, Calvin Klein, Hugo Boss dan Ralph Lauren yang sudah tidak menggunakan bulu haiwan dalam koleksi mereka.

Label mewah itu mempunyai sejarah panjang menggunakan banyak bulu haiwan dalam rekaan mereka, daripada pelbagai spesies haiwan termasuk mink dan rakun, menurut Humane Society International yang berkempen untuk menghentikan perdagangan bulu haiwan di seluruh dunia.

Koleksi musim luruh/sejuk Versace bagi 2017 termasuk kot bulu mink dan musang. – AFP, 15 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen