Kongsi kandungan lucah catat aduan tertinggi diterima SKMM


SEBANYAK 58% atau 1,631 daripada 2,825 aduan yang diterima serta disiasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubung kesalahan menyalahgunakan perkhidmatan komunikasi dan media sosial dalam tempoh 2009 hingga semalam, adalah atas kesalahan menyebar kandungan berunsur lucah. 

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching berkata, selain itu aduan menyebar kandungan jelik merekodkan sebanyak 546 kes, diikuti kandungan sumbang (tujuh), kandungan palsu (574) dan baki 74 aduan adalah melibatkan kandungan mengancam dan kandungan sumbang.

“Daripada aduan diterima berkenaan, sebanyak 108 kes masih dalam siasatan, 115 kes didakwa di mahkamah, 40 kes dikenakan kompaun dengan nilai keseluruhan RM138,250 dan 84 kes dikeluarkan notis amaran.

“Kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 (Akta 588),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab soalan Syahredzan Johan (PH-Bangi) bertanyakan statistik individu disiasat, didakwa dan disabitkan di bawah seksyen itu dalam tempoh berkenaan mengikut tahun dan jenis hantaran.

Bagaimanapun, Teo berkata daripada jumlah aduan tersebut, sebanyak 2,478 kes dikenakan status Tiada Tindakan Lanjut (NFA) dan/atau Tiada Kesalahan Dizahirkan (NOD) disebabkan tiada bukti kukuh untuk mengaitkan suspek dengan kesalahan disiasat di bawah seksyen berkenaan. – Bernama, 1 Mac, 2023. 

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen