Biden lantik 25 eksekutif anggotai Majlis Eksport Presiden


White House mengumumkan 25 individu yang dilantik Presiden AS Joe Biden untuk menganggotai Majlis Eksport. – Gambar EPA, 1 Mac, 2023.

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Joe Biden mengumumkan hasratnya untuk melantik 25 individu menganggotai Majlis Eksportnya, lapor Agensi Anadolu (AA) memetik White House pada Selasa.

Majlis Eksport Presiden, yang bertindak sebagai jawatankuasa penasihat utama kebangsaan mengenai perdagangan antarabangsa akan diketuai Mark D. Ein—seorang ahli perniagaan yang mempunyai pengalaman 35 tahun dan kini merupakan pengerusi Lindblad Expeditions, Kastle Systems dan ahli lembaga Custom Trak One Source serta ahli Collective Group Inc.

Naib pengerusinya ialah Rosalind Brewer, Ketua Pegawai Eksekutif Walgreens Boots Alliance pada Mac 2021 selepas berkhidmat sebagai COO dan Presiden Kumpulan di Starbucks dari Oktober 2017 hingga Januari 2021.

Anggota majlis lain termasuk presiden, CEO dan eksekutif tertinggi daripada syarikat seperti FedEx, CVS Health, Ford, United Airlines, Citi, 3M dan Qualcomm.

Menurut White House, majlis itu akan bertindak menasihati presiden mengenai dasar dan program kerajaan yang menjejaskan prestasi perdagangan AS sambil menggalakkan perkembangan eksport.

Ia juga menyediakan forum untuk membincangkan dan menyelesaikan masalah berkaitan perdagangan dalam kalangan sektor perniagaan, perindustrian, pertanian, buruh dan kerajaan. – Bernama, 1 Mac, 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen